Darurat: Majlis Peguam suara kebimbangan imuniti lindungi kerajaan daripada situasi akibat kecuaian
Firdaus Azil
Januari 16, 2021 16:12 MYT
Januari 16, 2021 16:12 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menzahirkan kebimbangan mengenai imuniti diperuntukkan dalam Seksyen 10 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang memberi perlindungan penuh kepada kerajaan dan pegawainya daripada sebarang situasi yang timbul akibat kecuaian, termasuk membabitkan kesihatan.
Presidennya Salim Bashir dalam satu kenyataan yang disiarkan portal Malaysiakini hari ini berkata, pihaknya bimbang dengan perlindungan undang-undang yang diberikan kepada pegawai di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sewaktu darurat berkuat kuasa.
Ujarnya lagi, imuniti seperti itu tidak seharusnya diberikan kerana seseorang individu harus bertanggungjawab terhadap kejadian yang tidak diingini sewaktu melaksanakan arahan kerajaan, sama ada dengan niat baik ataupun tidak.
"Klausa penolakan tidak semestinya melindungi pemerintah daripada disaman atas pelanggaran hak asasi manusia.
"Kuasa yang luas di bawah Ordinan (Darurat) ini, memberikan kesan yang menggerunkan kepada rakyat biasa, kerana semua kuasa tertumpu di cabang eksekutif," katanya lagi.
Dalam pada itu, Salim berkata, Majlis Peguam juga khuatir dengan kuasa menahan yang diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.
Ujarnya lagi, pihaknya berpandangan pegawai dan anggota polis sudah terlatih untuk menangani masyarakat, sedangkan anggota tentera sebaliknya.
“Kami risau dengan kuasa berlebihan yang diberikan kepada pihak tentera sewaktu mereka melaksanakan tugas masing-masing. Majlis Peguam berharap hak asasi manusia tidak akan dikompromi sewaktu tempoh darurat,” tegasnya lagi.
Selain itu, Salim berkata, Majlis Peguam berpandangan sidang Parlimen perlu diteruskan bagi memastikan sistem semak dan imbang terus berfungsi seperti biasa.
Ujarnya lagi, kerajaan Persekutuan diharap tidak menyalah guna kuasa yang diperuntukkan dan terus memberi tumpuan untuk melakukan perkara yang perlu sahaja bagi menangani pandemik COVID-19.
#Salim Bashir
#Majlis Peguam
#Malaysian Bar
#Ordinan Darurat
#KUASA
#Masyarakat
#polis
#tentera
#pandemik
#Parlimen
#COVID-19
#undang-undang
#Malaysia