Darurat: Boleh pinjam bangunan untuk dijadikan depoh sementara bagi kekang COVID-19

Bernama
Januari 18, 2021 05:14 MYT
Mohd Zuki berkata tahanan yang bakal menghampiri tempoh tamat hukuman penjara, misalnya berbaki sebulan atau dua bulan, mungkin boleh dicadangkan untuk dibebaskan lebih awal. - Facebook
KUALA LUMPUR: Kesesakan di dalam penjara hingga boleh mengakibatkan penularan dan peningkatan kes COVID-19 dijangka dapat dikekang dengan adanya ordinan khas di bawah Proklamasi Darurat.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Kluster Keselamatan di bawah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat boleh mencadangkan untuk meminjam dan menguna pakai mana-mana bangunan untuk dijadikan depoh sementara.
"Kesesakan di penjara menjadi antara satu faktor menyebabkan meningkatnya kes-kes COVID-19 kerana kita faham 'nature' di penjara, bilangan pesalah itu berada setempat dan terkurung dalam kapasiti yang ramai.
"Maka, dengan tujuan untuk mengekang atau mengurangkan potensi berjangkitnya COVID-19, mungkin satu ordinan boleh kita bentuk, dengan memindahkan pesalah-pesalah ke dalam depoh sementara untuk mengurangkan bilangan tahanan dalam penjara, sekali gus dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung oleh RTM, bertajuk Pengurusan Darurat: Pendekatan Strategik Memerangi COVID-19, yang turut menyaksikan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir sebagai panel.
Dalam masa sama, Mohd Zuki berkata tahanan yang bakal menghampiri tempoh tamat hukuman penjara, misalnya berbaki sebulan atau dua bulan, mungkin boleh dicadangkan untuk dibebaskan lebih awal.
"Kita boleh meminda akta atau memperkenalkannya...kalau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, kita boleh memendekkan tempoh hukuman mereka.
"Ini semua contoh cadangan, perkara-perkara ini kita akan bincangkan secara teliti dengan setiap kluster akan mengemukakan cadangan kepada Sidang Khas MKN dan sekiranya Sidang Khas MKN bersetuju, ia akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Beliau berkata di bawah pengurusan darurat, kerajaan juga akan dapat mengawal sebarang aktiviti sabotaj atau kenaikan harga barangan, bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas pandemik COVID-19.
"Selama ini Akta Kawalan Harga dilaksanakan hanyalah ketika musim perayaan, jadi dalam keadaan darurat ini kita boleh memperkenalkan dan menggunakan ordinan untuk tujuan mengawal harga barangan...kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan," katanya sambil menambah cadangan itu akan diberi fokus di bawah Kluster Ekonomi.
Selain Kluster Keselamatan dan Ekonomi, empat kluster utama lagi ialah Kluster Kesihatan, Pendidikan, Komunikasi dan Kluster Perhubungan Persekutuan dan Negeri akan diberi fokus oleh kerajaan susulan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.
Jawatankuasa teknikal ini antara lain bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat, selain meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian.
-- BERNAMA
#Kesesakan di dalam penjara #ordinan khas #Proklamasi Darurat #Mohd Zuki Ali #kluster keselamatan #Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat #depoh sementara
;