Darurat bantu KKM cegah penularan COVID-19 - Dr Noor Hisham
Madiha Abdullah
Mei 11, 2021 19:01 MYT
Mei 11, 2021 19:01 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan darurat dilihat berjaya mengekang COVID-19 kerana membolehkan mengelakkan berlakunya pilihan raya.
Mengambil iktibar lima pilihan raya di India, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, darurat juga membantu mengawal pergerakan rakyat dan membolehkan mereka duduk di rumah.
"Darurat membantu dari segi pencegahan dan ini yang mungkin ramai tidak nampak. Kita guna Ordinan Darurat untuk elak pilihan raya kecil seperti di Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak.
"Di Sarawak, tempoh lima tahun akan tamat pada Jun. Kalau tiada Ordinan Darurat, kita kena laksanakan PRN dalam tempoh 60 hari.
"Kita nampak implikasi PRN Sabah dahulu, dan di negara lain contohnya India, salah satu faktor kes begitu menular di sana ialah kerana mereka buat lima pilihan raya," katanya dalam sidang media harian, pada Selasa.
Tambahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) juga dilihat tepat berdasarkan situasi semasa.
"PKP perlu dilaksanakan kerana kapasiti hospital semakin berkurangan. Kita bimbang jika kes jangkitan terus melonjak, kita akan berhadapan dengan situasi katil yang tidak mencukupi di ICU.
"Kalau kita tengok sekarang, 80 peratus jangkitan bukan lagi dalam kluster tetapi bersifat sporadik, bermaksud ia sudah ada dalam komuniti.
"Pertambahan varian juga membimbangkan kerana ketika ini kita sudah mengesan 48 varian South Afrika, lapan varian UK dan satu kes varian India.
"Hari ini kita merekodkan pertambahan 14 kes varian South Afrika menjadikan keseluruhan 62 kes. Kita juga mengenal pasti satu kes varian India, iaitu warganegara India, dikesan pada 7 April lalu, dia dikuarantin selepas mengalami gejala.
"Dua kali swab menunjukkan keputusan negatif, dan dia meninggal dunia pada 21 April lalu.
"Jadi dalam empat varian yang membimbangkan, kita sudah kesan tiga dan ini satu situasi yang merisaukan kerana kita percaya ia sudah merebak ke banyak negeri," ujarnya.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#pilihan raya kecil
#pilihan raya
#India
#PKP
#varian India
#darurat
#Ordinan Darurat