Darjah kebesaran negeri ditarik balik jika terlibat rasuah, salah guna kuasa - Sultan Selangor
Hafizi Rosli
Julai 28, 2021 12:55 MYT
Julai 28, 2021 12:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kurniaan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor bagi pegawai kerajaan dan ahli-ahli politik yang didapati bersalah dalam rasuah akan ditarik balik.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah.
"Kegiatan rasuah boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri ini," titah baginda menerusi kenyataan Setiausaha Sulit Datuk Mohamad Munir Bani, yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
"Mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang telah dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor dan didapati telah melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik," tambahnya.
Sultan Selangor menegaskan, mana-mana pegawai kerajaan di negeri itu yang didapati bersalah kes rasuah dan pecah amanah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras.
Baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang terlibat rasuah akan menerima hukuman sewajarnya.
Tambah baginda, rasuah dan salah guna kuasa adalah gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara.
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Rasuah
#SPRM
#Sultan Selangor
#tarik balik
#pingat
#dukacita
#pegawai kerajaan
#tindakan tatatertib
#hukuman setimpal
#salah guna kuasa
#Mohamad Munir Bani
#darjah kurnia
#Bintang Kebesaran
#ahli politik