Daripada Mona Fandey kepada Ning Baizura dan Safee Sali, apa persamaan mereka?
Cynthia Ng
Februari 18, 2014 14:12 MYT
Februari 18, 2014 14:12 MYT
Apabila nama Kajang disebut, sudah pasti sate akan tergambar di fikiran.
Namun, ada banyak lagi perkara menarik mengenai pekan tersebut yang mungkin anda tidak ketahui.
Berikut merupakan 10 fakta menarik tentang Kajang:
1. Sejarah Kajang
Persimpangan utama pekan Kajang
Asal usul pekan Kajang, yang terletak di daerah Hulu Langat, dipercayai bermula pada tahun 1807 selepas Perang Saudara Selangor.
Menjelang penghujung 1980-an, ladang-ladang kopi ditubuhkan sekitar Kajang dan seterusnya membawa arus pemodenan kepada pekan tersebut.
Menurut Banci Penduduk dan Perumahan 2010, Kajang kini mempunyai penduduk berjumlah 311,875 dan merupakan antara pekan paling pesat membangun di Selangor.
Antara tempat-tempat menarik ialah Stadium Kajang, Restoran Sate Haji Samuri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang yang terletak di persimpangan utama pekan tersebut.
2. Stadium Kajang
Stadium Kajang – kini dikenali sebagai Dataran Kajang
Stadium Kajang yang dibina sekitar 1970an adalah antara stadium ikonik di Malaysia.
Ia pernah menjadi tuan rumah kepada perlawanan-perlawanan bola sepak yang menampillkan lagenda bola sepak Malaysia seperti Supermokh’ Mokhtar Dahari, ‘Spiderman’ Datuk R. Arumugam, Soh Chin Aun dan Santokh Singh.
Pada tahun 2010, stadium tersebut dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan pusat rekreasi serba guna yang kini dikenali sebagai Dataran Kajang.
3. Pejuang Negara
Leftenan Adnan Saidi – Wikipedia
Perwira negara Leftenan Adnan Saidi yang terkorban semasa mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun di pertempuran Bukit Chandu berasal dari Kajang.
Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Ramal pada 1915 dan menerima pendidikan di Sekolah Melayu Sungai Ramal.
Pada 1982, sekolah tersebut menukar namanya ke SK Leftenan Adnan untuk memperingati jasa pejuang negara itu.
4. Selebriti dari Kajang
Pemain bola sepak negara, Safee Sali juga dilahirkan di Kajang.
5. K-Town
Gambar dari Facebook K-Town Clan
Sejak beberapa tahun lepas, Kajang juga dikenali sebagai K-Town kerana ramai artis rap dan hip hop tempatan berasal dari pekan itu.
Antara kumpulan yang paling popular ialah K-Town Clan yang diwakili Vid, Bo dan Roshan Jamrock.
Ketiga-tiga berasal dari Kajang dan huruf ‘K’ pada nama kumpulan tersebut bertujuan sebagai pengiktirafan kepada kampung halaman mereka.
6. Penjara Kajang
Mona Fandey – Wikipedia
Penjara Kajang juga merupakan tempat yang disebut-sebutkan kerana pernah memenjarakan banduan-banduan yang berprofil tinggi.
Salah seorang banduan terkenal ialah Mona Fandey yang yang didapati bersalah dalam kes pembunuhan kejam ahli dewan undangan negeri (ADUN) Batu Talam Pahang, Datuk Mazlan Idris pada tahun 1993.
Badan mangsa ditemui dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di sekitar rumah Mona Fandey.
Mona Fandey bersama dua tertuduh lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang pada 2 November 2001. Makanan terakhir yang disajikan kepada mereka sebelum dijatuhkan hukuman ialah Kentucky Fried Chicken.
7. ‘Lubang Jepun’
SMK Tinggi Kajang
Pada tahun 1971, sebuah terowong bawah tanah ditemui di SMK Tinggi Kajang yang dipercayai dibina oleh askar Jepun semasa Perang Dunia Kedua. ‘Lubang Jepun’ itu dikatakan menghubungkan sekolah-sekolah berdekatan.
Menurut bekas pelajar, SMK Tinggi Kajang juga dikatakan sebagai berhantu kerana ia merupakan sekolah paling tua di Kajang yang pernah dijadikan ibu pejabat tentera Jepun.
Ia juga terletak berdekatan dengan Tanah Perkuburan Cina Hulu Langat.
8. Banjir Besar Kajang
Pada Disember 2011, Kajang dan beberapa kawasan sekitarnya dilanda banjir kilat yang menyebabkan kemusnahan berjumlah hampir RM2.4 juta.
Namun, ianya bukan kali pertama Kajang dilanda banjir teruk. Pekan itu ditenggelami air akibat banjir besar pada tahun 1971 dan sekali lagi sekitar 1980an.
9. Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang
Laluan Sungai Buloh – Kajang MRT dalam proses pembinaan – Gambar dari mymrt.com.my
Apabila ditanya apakah isu-isu yang dialami penduduk di Kajang, kesesakan lalu lintas dan harga rumah semakin mahal menjadi rungutan utama.
Kedua-dua masalah tersebut sebenarnya juga berpunca daripada pembinaan projek MRTyang dijangka akan siap pada tahun 2017.
Sejak beberapa tahun lalu, harga rumah di Kajang dan kawasan sekitarya telah melonjak lebih 20%.
Tiga kawasan di Kajang dipilih untuk diletakkan stesen MRT ialah Saujana Impian, Bandar Kajang dan Jalan Reko.
10. Pekan Sate
Apa yang pasti, tidak sah jika anda sampai ke Kajang dan tidak menikmati keenakan sate di sini.
Antara restoran sate paling terkenal ialah Restoran Sate Haji Samuri yang sudah bertapak di Kajang sejak tahun 1960an dengan satu kedai kecil. Restoran tersebut kini mempunyai 19 cawangan lain di seluruh negara.
Berdasarkan tinjauan terbaru, secucuk sate ayam dan daging berharga RM0.80.
Ianya berharga RM0.50 secucuk sepuluh tahun lalu.