Daripada 'biasa-biasa', kini 70kg pisang terjual tak sampai tiga jam

Hasimi Muhamad
Februari 9, 2023 09:30 MYT
Abdul Adib Aidil mahu mengembangkan perniagaan Banana Dibs yang diusahakan di Kajang, sejak dua tahun lalu. - Foto Astro AWANI
DARIPADA hanya video pendek berdurasi dua saat berbunyi, "biasa, biasa maksudnya?", siapa sangka ia memberi tuah kepada peniaga pisang goreng keju, Abdul Adib Aidil.
Aksi tersebut kini menjadi fenomena 'luar biasa' di laman sosial TikTok apabila ramai yang menghasilkan video 'stitch' bagi memberi reaksi kepada gelagat pemuda berusia 24 tahun itu.
Tidak sekadar menaikkan bilangan pengikut di laman sosial, impak video pendek itu turut melariskan jualan Banana Dibs yang diusahakan olehnya sejak dua tahun lalu.
Berkongsi kepada Astro AWANI, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak menyangka video tular itu mampu menarik ramai pelanggan datang membeli jualannya yang diusahakan di Kajang itu.
Sejak tular pada Sabtu lalu, Abdul Adib berkata, jualan pisang goreng kejunya meningkat dua kali ganda, daripada 30 kilogram (kg) pisang kepada hampir 70kg sehari.
Lebih mengujakannya, jualan tersebut habis terjual dalam tempoh kurang tiga jam.
"Saya ada staf tiga orang, termasuk saya. Kalau sebelum ini, boleh kata dalam dua jam hanya seorang sahaja pelanggan datang, tetapi tiba-tiba meletup (jualan) dan kita pun terkejut.
"Sejak lima enam bulan lepas saya berniaga, orang pun mula kurang datang. Saya memang rasa sangat tertekan, dengan kerja (tetap) pun tak dapat.
"Jadi, pelan saya tahun ini ialah cuba untuk kembangkan perniagaan, sebab sudah mulakan perniagaan ini sejak dua tahun lalu, tetapi tiada apa-apa perubahan.
"Sebab itu saya fokus buat 'live' di TokTik dan Alhamdulillah selepas itu jualan mula naik," katanya ketika ditemui di Kajang pada Rabu.
Selain jualan 'laku keras', Abdul Adib berkata, dia menerima tawaran sebagai duta dan model pakaian daripada beberapa pihak tertentu.
Permulaan Banana Dibs
Bercerita lanjut, Abdul Adib berkata, dia memulakan perniagaan Banana Dibs selepas menamatkan pengajian di Malaysian Flying Academy, Melaka pada Ogos 2020.
Ketika itu, tawaran sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan terkemuka negara terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, berbekalkan bantuan sebanyak RM500 yang diperuntukkan oleh kerajaan ketika itu, pemuda itu memulakan perniagaan pisang goreng keju di hadapan kedai makan milik keluarganya.
"Asalnya pada 2020 saya belajar di Melaka, dan saya suka makan pisang goreng keju... hampir setiap bulan saya akan beli.
"Masa COVID-19 saya dapat bantuan RM500 daripada kerajaan dan 100 peratus saya gunakan untuk perniagaan pisang goreng keju ini. Dari segi tempat berniaga, saya memang tumpang tapak kedai keluarga.
"Tetapi dengan bantuan RM500 itu, saya buat modal untuk membeli pisang... kiranya, hari ini beli, hari ini jual, dan saya simpan sikit-sikit. Alhamdulillah, hari ini modal semakin besar," ujarnya lagi.
Selain kerangupan, Abdul Adib menambah, antara keistimewaan pisang goreng kejunya adalah ia digoreng dalam saiz 'popcorn' dan menggunakan pisang nangka kerana rasanya yang lebih manis.
Paling istimewa, dia turut menghasilkan sendiri dua jenis perisa atau 'topping' iaitu caramel dan butterscotch.
"Dari segi kelainan, mungkin orang datang nak rasa sos buatan saya sendiri, sama ada sedap atau tidak. Saya belajar menghasilkan sos ini daripada kawan dan kebetulan dia pun belajar dalam bidang kulinari.
"Dari segi kerangupan pisang, sudah tentu sebab kita guna tepung untuk pastikan ia rangup dan maklum balas daripada pelanggan pun mengatakan, walaupun dah sejuk, ia masih lagi rangup," kata Abdul Adib.
Mahu kejar cita-cita
Pada masa akan datang, Abdul Adib berkata, dia merancang untuk menambah bilangan pekerja bagi membantunya mengembangkan perniagaan Banana Dibs.
Begitu pun, di sebalik perniagaan yang semakin maju, Abdul Adib mengakui dia meletakkan harapan tinggi untuk bergelar juruterbang dan masih menanti tawaran daripada syarikat penerbangan.
"Saya masih lagi menunggu, kalau syarikat penerbangan (Malaysia Airlines) panggil saya, Alhamdulillah. Sudah tentu kita nak masuk bidang tersebut sebab memang impian sejak kecil lagi, untuk jadi juruterbang.
"Kalau ada rezeki, saya pergi (jadi juruterbang) dan pada masa yang sama perniagaan akan tetap diteruskan," katanya.
Dalam masa yang sama dia turut menasihati orang ramai yang berminat mengusahakan perniagaan agar tidak takut dan berputus asa menceburi bidang berkenaan.
Selain caramel dan butterscotch, Banana Dibs menawarkan variasi pilihan perisa seperti coklat, nutella, strawberry, orea cheese, serta macha dengan harga antara RM10 dan RM12 (kecil), manakala RM25 dan RM30 bagi saiz sederhana.
#Banana Dibs #Abdul Adib Aidil #goreng pisang cheese #video tular
;