Dari tayar terpakai jadi 'bangku santai'

Sinar Harian
Februari 27, 2022 10:30 MYT
Mat Jam bersama koleksi hasil kerja tangannya yang menggunakan tayar kenderaan terpakai. -Foto Sinar Harian
JENGKA: Seorang peneroka menjadikan hobi mengubah suai tayar kenderaan untuk dijadikan tempat duduk seperti 'bangku santai' sebagai pendapatan sampingan.
Mat Jam Ijam, 61, dari Felda Jengka 24 berkata, kebiasaannya dia menggunakan tayar terpakai jenis 'sport rim'.
"Aktiviti saya ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan kerana ketika itu banyak masa luang.
"Saya guna tayar-tayar terpakai sedia ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Kata Mat Jam, dia tidak menyangka hasil kerja tangannya itu menarik perhatian penduduk setempat bahkan menerima sambutan menggalakkan daripada peminat barangan itu termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakannya untuk landskap.
"Saya jual dengan harga RM70 bagi satu unit dan sedia menerima tempahan pada bila-bila masa.
"Pada masa ini saya hanya membuatnya jika terima tempahan," katanya yang menetap di Felda tersebut sejak tahun1986.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, pihaknya akan membantu Mat Jam untuk mempromosikan hasil kerja tangannya itu.
*Artikel asal di Sinar Harian
#bangku santai #Mat Jam Ijam #Felda Jengka 24 #ubah suai tayar kenderaan
;