Dari mana datang duit nak beli aset? - Hishammuddin

Diyana Ibrahim
November 15, 2018 17:53 MYT
Dalam Belanjawan 2019, Kementerian Pertahanan memperolehi peruntukan sebanyak RM13.9 bilion, kurang daripada RM15.4 bilion yang diterima tahun lepas.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengkritik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung rancangan menteri itu untuk menambah aset baharu bagi kementerian tersebut.
Hishammuddin, yang juga bekas menteri pertahanan, berkata tidak masuk akal kementerian itu mampu membeli aset seperti pesawat maritim jika peruntukan belanjawan telah dipotong sebanyak RM2 bilion.
"Kalau peruntukan dah dipotong RM2 bilion macam mana dia nak menyakinkan orang ramai bahawa aset yang nak dibeli itu cukup dengan belanjawan yang diberi," katanya kepada media di Lobi Parlimen pada Khamis.
Dalam Belanjawan 2019, Kementerian Pertahanan memperolehi peruntukan sebanyak RM13.9 bilion, kurang berbanding RM15.4 bilion yang diperolehi tahun lepas.
Tambah wakil rakyat UMNO itu, kementerian sepatutnya tahu bagaimana untuk mengimbangi belanjawan yang diperolehi dengan apa yang mampu dibeli.
"Apa yang dibentang dan diperuntukkan mesti ada keseimbangan. Kalau dia kata nak beli aset, duit itu akan datang daripada mana.
"Itu belum lagi nak selenggara aset," katanya, sambil menambah kenyataan menteri tersebut tidak realistik.
#Ahli Parlimen Sembrong #aset baharu #Hishammuddin Hussein #lobi Parlimen #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu #pesawat maritim
;