'Dari lubuk hati, sekali lagi saya mohon maaf...' - Zulkifli

Hasimi Muhamad
Oktober 6, 2020 10:37 MYT
ZULKIFLI: Tempoh masa yang dikurniakan Allah ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah dan meneliti ruang-ruang penambahbaikan. Facebook Zulkifli Mohamad Al-Bakri
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 pada Isnin, sekali lagi memohon maaf di atas insiden yang berlaku.
Kenyataan itu tampil selepas beberapa pihak dilihat terus mempersoalkan tindakan Menteri Agama itu yang tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Sabah, selain menghadiri pelbagai program di beberapa negeri.
Menerusi kemas kini di laman Twitter, Zulkifli turut menyifatkan tempoh masa diberikan sebagai peluang untuk beliau bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan.
“Tempoh masa yang dikurniakan Allah SWT ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah dan meneliti ruang-ruang penambahbaikan untuk masa mendatang.
“Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku,” demikian katanya dalam entri tersebut, hari ini.

Assalamualaikum & salam sejahtera. Tempoh masa yang dikurniakan Allah SWT ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah, dan meneliti ruang-ruang penambahbaikan untuk masa mendatang. Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku.

— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) October 6, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walaupun perlu menjalani rawatan dan kuarantin, Zulkifli memaklumkan amanah dan tanggungjawab yang digalas oleh beliau akan terus dilaksanakan termasuk melaporkan perkembangan tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.
BACA : Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19
Dalam status sama, Zulkifli turut memuat naik Kad Laporan bulan Ogos agensi di bawah portfolionya
“Setiap sen yang dibelanjakan bagi sebarang bentuk urusan terkait tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan adalah amanah daripada rakyat.
“Jadual saya pada bulan Ogos, kebanyakannya tertumpu di Parlimen. Pun begitu, - Alhamdulillah - agensi-agensi di bawah saya amat memahami dan tetap menggerakkan program masing-masing dengan penuh komited,” katanya.
Sehubungan itu, Zulkifli berharap Kad Laporan Bulanan tersebut dapat memberi gambaran secara umum tentang apa yang telah laksanakan setiap bulan di bawah portfolionya.
Semalam, Zulkifli menjadi pemimpin negara terbaharu yang disahkan positif COVID-19.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, beliau turut menggesa semua pihak yang mempunyai kontak dengannya untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
Pada 24 September lalu, Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur.
Selepas pulang dari Sabah, Zulkifli dilaporkan turut melawat beberapa masjid di pelbagai negeri, kebanyakannya untuk menyampaikan khutbah atau ceramah.
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri #kes positif #COVID-19 #kuarantin #hadir program #Sabah #mohon maaf #Twitter #muhasabah #ruang penambahbaikan #kad laporan #Facebook #masjid #khutbah #ceramah #kontak #ujian saringan
;