Dari coretan di Facebook, ibu tunggal bakal lancar novel bulan depan
Bernama
Oktober 16, 2021 04:49 MYT
Oktober 16, 2021 04:49 MYT
KUALA KANGSAR: Dikurniakan dua orang anak austime adalah satu cabaran hebat buat ibu tunggal ini hingga tercetus idea untuk menerbitkan novel fiksyen diinspirasikan daripada perjuangan dirinya menempuhi liku-liku kehidupan.
Bermula dengan sekadar berkongsi cerita di laman sosial Facebooknya di waktu lapang, Nur Fatiha Yazed, 38, bakal melancarkan naskhah novel mempunyai 30 jilid pada awal bulan hadapan menggunakan nama pena ‘Mak Cantek.’
"Apabila berada dalam keadaan tertekan kerana tidak mempunyai wang simpanan mencukupi serta kehilangan tempat bergantung iaitu suami sambil menjaga anak-anak seorang diri, inilah satu-satunya cara untuk saya berimaginasi meluahkan perasaan iaitu dengan menulis cerita," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Ibu tunggal kepada tiga anak lelaki itu berkata dia bermula dengan hanya berkongsi sinopsis pendek menerusi status WhatsApp dan mendapat galakan serta sokongan dari rakan-rakan untuk memuat naik status Facebook hingga mendapat pujian orang ramai.
Nur Fatiha berkata novel 'Pesan untuk Siti Saleha' sudah siap sejak bulan Mac lepas namun disebabkan keluarga menjadi keutamaan, dia hanya mampu berkarya pada waktu lapang sekali gus menyukarkan dirinya menyiapkan novel mengikut garis masa tertentu.
"Setakat ini, pembaca setia yang teruja dengan ‘teaser’ dimuat naik di laman Facebook setiap minggu sudah mulai bertanya status keluaran cetakan pertama. Jadi, saya bercadang untuk membuka tempahan novel pada hujung bulan ini sebanyak 100 naskhah sebelum menggunakan modal pusingan untuk cetakan seterusnya.
"Disebabkan terbitan ini adalah menggunakan modal saya sendiri jadi ia sangat terhad. Saya akan menjual novel fiksyen ini dengan harga RM30 mengandungi 60,000 hingga 70,000 perkataan di dalamnya," jelasnya.
Menurut Nur Fatiha, novel ini berkisarkan seorang wanita bersemangat waja untuk meneruskan kehidupan membesarkan dua anak OKU dan seorang bayi selepas kematian suami namun terjebak dengan seorang sahabat misteri dari alam ghaib dan dimensi berlainan.
"Saya masukkan perjalanan kehidupan yang terpaksa ditempuh termasuk pandangan masyarakat terhadap dua anak autisme saya serta berkongsi semangat ini bersama-sama ibu di luar sana yang juga mempunyai anak austime," kata ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Muhammad Iqbal Razi Fakrol Asdi, 12, Muhammad Ayyub Irfan Fakrol Asdi, 10 dan Muhammad Idris Fakrol Asdi, setahun.
Menurutnya, iltizam untuk meneruskan hidup dengan menulis novel ini hadir sebagai pembakar semangat bagi mengubah nasib keluarga yang hilang tempat bergantung setelah suaminya, Fakrol Asdi, 38 meninggal dunia tiba-tiba akhir tahun lepas.
Jelas suri rumah ini, dia menerima bantuan balu kehilangan suami daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan dan kedua anaknya masing-masing menerima RM150 daripada elaun kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU).
"Ia tidak mencukupi untuk saya menampung keluarga ini, bayaran sewa rumah sahaja sudah RM300 jadi ini adalah antara inisiatif saya rasa sesuai dengan kebolehan menulis yang sudah saya asah sejak di bangku sekolah. Ia tidak mudah namun saya percaya jika kita berusaha pasti ada hasil positif," kata anak sulung daripada lapan beradik itu.
Nur Fatiha menambah dengan keuntungan bakal diperoleh daripada jualan novel kelak ia akan dibelanjakan untuk kehidupan seharian dan menghantar kedua anaknya ke rawatan terapi Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) di Taiping, dijangka menelan belanja RM1,260 sebulan bagi setiap seorang.
-- BERNAMA