'Darah masih mengalir dari jenazah anak-anak tahfiz ketika dimandikan' - Pengetua
Madiha Abdullah
September 23, 2017 14:44 MYT
September 23, 2017 14:44 MYT
SUDAH lebih seminggu berlalu, namun tragedi menyayat hati yang mengorbankan 23 nyawa dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih diperkatakan ramai.
Ramai pihak yang tampil memberi sumbangan untuk meringankan beban mangsa dan keluarga.
Paling terbaharu, usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida, menyatakan kesediaan mengambil anak-anak tahfiz sebagai anak-anak angkatnya, selain berhajat membawa mangsa ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.
Kata pengasas produk Qu Puteh ini, beliau cukup terkesan kerana dua anaknya juga meninggal dunia dalam kebakaran, beberapa tahun lalu.
Namun apa yang lebih menyentuh hati adalah perkongsian Vida dalam satu video Facebook Live, di mana beliau berbual dengan pengetua pusat tahfiz terbabit.
Cerita Mohd Zahid Mahmood, dia diberitahu, darah masih mengalir dari tubuh mangsa ketika proses memandikan jenazah.
"Pihak yang menguruskan jenazah menghubungi saya sambil menangis, dan memaklumkan darah masih mengalir dari badan mangsa.
"Kata mereka, inilah kali pertama mereka berhadapan dengan situasi seperti ini kerana kebiasaannya, keadaan mayat mereka yang meninggal dunia akibat kebakaran kering kerana sudah hangus terbakar," cerita Mohd Zahid.
Malah, jenazah juga tidak mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan seperti kebiasaan, mengikut cerita daripada pemandi jenazah dan pihak bomba.
"Bomba beritahu saya, mereka tidak perlu pakai topeng ketika naik untuk operasi mengeluarkan mayat kerana tiada bau yang busuk.
"Mungkin itu cara untuk Allah beritahu, betapa Dia amat menyayangi anak-anak tahfiz ini," kata Mohd Zahid.
Dalam kejadian Khamis lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu kira-kira 5.15 pagi.
#bomba
#Datuk Seri Vida
#Facebook
#jenazah
#kebakaran
#mangsa
#mayat
#meninggal dunia
#Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
#video