Dapur jalanan: Suatu harapan baru

Daily Seni
September 4, 2014 16:31 MYT
Bon Jovi menyatakan bahawa sudah sampai masanya kewujudan restoran yang bertunjangkan konsep komuniti diperbanyakkan lagi.
Konsep dapur komuniti hampir mengingatkan saya pada suatu lot kedai yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam.
Sebuah restoran yang memberi lauk pauk secara percuma pada waktu tengah hari, dan bertukar menjadi kelas tusyen pada waktu malam.
Daily Seni memilih untuk memberi fokus kepada satu contoh yang agak terkenal - sebuah dapur jalanan yang terletak jauh di New Jersey, Amerika Syarikat dan dimiliki oleh penyanyi Jon Bon Jovi, dinamakan Soul Kitchen.
Adakah kewujudan dapur jalanan seperti ini - juga dikenali sebagai soup kitchen (malah sudah mula cuba direalisasikan di Malaysia oleh pihak-pihak NGO dan sukarela) - diilhamkan daripada kes pengangguran di negara mereka, yang menyebabkan berjuta-juta rakyat mereka tidak lagi mempunyai rumah dan terpaksa tinggal di jalanan.
Adakah konsep ini merupakan satu percubaan bagi menolong golongan yang susah, dan pada masa yang sama suatu usaha untuk bereksperimentasi dengan konsep yang jarang dicuba?
Sebelum dibincangkan tentang konsep dapur jalanan seperti di Shah Alam dan Soul Kitchen di New Jersey ini, tidak banyak yang saya tahu tentang kewujudan restoran komuniti. Malah fungsi restoran tersebut masih samar-samar dan jarang dipikirkan oleh orang awam.
Langsung apakah sebenarnya objektif dapur jalanan? Apakah idea-idea yang dapat dicetuskan dan harapan apakah yang dapat dijadikan sebagai matlamat apabila konsep ini difikirkan?
Dapur jalanan merupakan satu konsep di mana segala makanan yang dihidangkan tidak diletakkan harganya, dan wujudnya peluang untuk menjadi sukarelawan bagi sesiapa yang ingin membayar makanan melalui sumbangan tenaga mereka.
Mereka juga boleh membayar makanan mereka pada nilai derma yang minimum.
Kepada sesiapa yang datang ke restoran ini, akan ditempatkan secara rawak dengan bertujuan untuk mengenal dengan orang yang lain.
Mungkin dengan niat ingin memperkukuhkan lagi nilai kemasyarakatan yang ada, dan harapan, suatu kata kunci yang utama dilabelkan pada restoran ini, agar restoran ini mampu mengurangkan segala prejudis dan syakwasangka yang wujud di dalam benak individu.
Pastinya timbul rasa ketenangan apabila dapur jalanan merupakan tempat yang diperlukan dan ingin terus ada, tidak hanya ditentukan oleh kemampuan kita untuk membayar untuk nikmat kemewahan.
Restoran alternatif ini berjaya memberikan idea bahawa makanan yang organik dan berkualiti masih mampu dikecapi tanpa menghabiskan begitu banyak wang dan tidak perlu bergantung kepada jaringan fast-food sahaja.
Bon Jovi menyatakan bahawa sudah sampai masanya kewujudan restoran yang bertunjangkan konsep komuniti diperbanyakkan lagi.
Kerana makanan yang benar-benar sihat tidak harus ditentukan melalui kemampuan materi kita. Ia adalah keperluan yang asas, dan merupakan sesuatu yang cukup dan mampu diberikan kepada semua.
#Jon Bon Jovi #Soul Kitchen #soup kitchen
;