Dapur Jalanan kutuk tindakan pasang palang besi di bangku awam sekitar KL

T K Letchumy Tamboo
Julai 24, 2014 07:41 MYT
Dapur Jalanan Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar Kuala Lumpur.
Dapur Jalanan Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar Kuala Lumpur oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dapur Jalanan berkata tindakan itu adalah kejam dan tidak bertimbang rasa, serta satu bentuk serangan terhadap warga miskin kota.
Pihak itu juga berkata tindakan agresif memasang palang besi di bangku-bangku awam itu juga telah mensabotaj usaha semua pihak dalam mencari penyelesaian isu warga miskin kota dan golongan gelandangan.
“Seperti yang diketahui, organisasi-organisasi yang prihatin tentang warga miskin kota termasuk Dapur Jalanan Kuala Lumpur sedang dalam perbincangan dan perundingan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai isu warga miskin kota dan gelandangan.
“Mesyuarat sudah diadakan dua kali serta masuk ke peringkat merangka penyelesaian. Pertemuan secara terus di antara pihak kementerian dan komuniti warga miskin kota sedang dirancang.
“Masalah timbul kerana tindakan DBKL itu membelakangi semangat perundingan dan perbincangan,” kata Dapur Jalanan dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Dapur Jalanan mengingatkan DBKL supaya menghormati semangat perundingan.
“Dapur Jalanan sudah dari awal lagi menyeru kepada pihak kerajaan untuk menghentikan segala operasi “pembersihan” dan penangkapan serta apa jua bentuk tindakan agresif kepada warga miskin kota.”
Gambar-gambar bangku dengan palang besi itu tersebar dengan meluasnya di laman media sosial dan pengguna media sosial telah menkritik tindakan itu.
#Dapur Jalanan #gelandangan
;