Dapur It'am 3.0 dilancar, sasar sifar lapar di Wilayah Persekutuan
Astro Awani
Februari 15, 2021 14:20 MYT
Februari 15, 2021 14:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi membantu golongan memerlukan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan program Dapur It'am 3.0 pada Isnin.
Program berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan itu adalah kesinambungan inisiatif yang dimulakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Ramadan tahun lepas.
Dapur It’am 3.0 akan menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan pada setiap hari bermula 15 Februari hingga 15 April ini.
“Sebanyak 300 pek makanan bermasak sehari akan disediakan oleh 56 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta diedarkan pada waktu tengah hari melalui wakil penduduk atau khidmat penghantar makanan.
“Seramai 134,400 orang dijangka menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Ia terdiri daripada petugas barisan hadapan, petugas kebersihan, pemandu e-hailing, asnaf dan golongan B40, rakan kejiranan bukan Muslim serta lain-lain golongan yang terkesan dan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pelancaran Dapur It’am 3.0 disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Program itu dijayakan melalui sumbangan peruntukan berjumlah RM 1,344,000 daripada MAIWP adalah tanda keprihatinan terhadap golongan yang terkesan dan memerlukan.
“Dapur It’am 3.0 menyasarkan sifar lapar atau setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja setiap hari di dalam mendepani tempoh getir pandemik COVID-19 yang melanda negara,” ujarnya.
#Dapur It'am 3 0
#Kuala Lumpur
#COVID-19
#golongan memerlukan
#sifar lapar
#wilayah
#Wilayah Persekutuan
#Ramadan
#Islam
#JAWI
#MAIWP
#menteri
#PKP
#pandemik
#keluarga