Dapatkan visa yang betul sebelum bekerja di Australia
Bernama
Februari 14, 2017 07:17 MYT
Februari 14, 2017 07:17 MYT
Suruhanjaya Tinggi Australia mengingatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk bekerja di Australia supaya memastikan mereka mempunyai visa yang betul sebelum berangkat ke negara itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Suruhanjaya Tinggi itu berkata kebanyakan rakyat Malaysia pergi ke Australia menggunakan Autoriti Pengembaraan Elektronik (ETA), bagaimanapun ia sebenarnya adalah untuk tujuan pelancongan dan bukannya hak untuk bekerja di Australia.
Pada 7 Feb lalu, 12 rakyat Malaysia merupakan antara 27 pekerja asing tanpa izin, dikenal pasti bekerja di sebuah ladang di Queensland, Australia, dengan sembilan daripadanya didapati tinggal melebihi tempoh visa dan tiga yang lain bekerja melanggar syarat visa termasuk ETA.
"Kerajaan Australia berazam untuk mengelak berlakunya eksploitasi pekerja asing di Australia.
"Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadannya (DIBP) melalui badan operasi Tentera Sempadan Australia, menyasarkan pekerja tanpa izin dan majikan bagi menghentikan aktiviti penipuan visa dan eksploitasi pekerja asing," kata kenyataan itu.
Suruhanjaya Tinggi Australia berkata sesetengah rakyat Malaysia diperdaya menerusi sindiket penipuan yang mana ejen menawarkan visa untuk dijual bagi tujuan bekerja dan mereka yang ditipu kemudiannya tidak dibayar gaji atau dibayar gaji yang rendah serta hidup dalam kemiskinan.
"Warganegara asing yang ditahan bekerja secara haram akan ditahan dan diusir dari Australia. Mereka juga akan berdepan dengan sekatan perjalanan di masa depan dan menanggung kos penyingkiran dari Australia," katanya.
Rakyat Malaysia yang ingin ke Australia dinasihatkan supaya berurusan dengan saluran yang betul apabila memohon visa Australia melalui rakan kongsi DIBP di Malaysia iaitu VFS Global, yang mengendalikan Pusat Permohonan Visa Australia di Kuala Lumpur.
Maklumat berkaitan boleh didapati di laman web VFS Global di http://www.vfsglobal.com/australia/malaysia/ atau laman web DIBP http://www.border.gov.au/.
-- BERNAMA