Dapatkan vaksin COVID-19 sebelum anda atau orang tersayang jadi mangsa - MMA
Bernama
Oktober 18, 2021 04:44 MYT
Oktober 18, 2021 04:44 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihati golongan antivaksin supaya mendapatkan vaksin sebelum mereka atau orang yang tersayang menjadi mangsa COVID-19 seterusnya.
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan berkata sebagai doktor, anggota MMA telah melihat pesakit antivaksin berubah fikiran mengenai vaksin selepas ahli keluarga atau mereka sendiri dijangkiti wabak itu.
"Seringkali kita melihat bahawa ketika seorang ahli keluarga meninggal dunia akibat COVID-19, secara tiba-tiba vaksin menjadi penting bagi anggota keluarga tersebut yang masih hidup. Oleh itu, nasihat kami kepada golongan antivaksin adalah untuk mendapatkan vaksinasi," katanya.
Dr Koh berkata perlu diingat bahawa walaupun kes COVID-19 merosot dengan ketara, masih ada pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk Kategori Tiga, Empat dan Lima.
"Sebilangan besar kes ini adalah melibatkan individu yang tidak divaksinasi", katanya.
Menurut beliau MMA bersetuju bahawa langkah tambahan selain prosedur operasi standard (SOP) seperti ujian saringan secara kerap diperlukan untuk individu yang tidak divaksin hadir bekerja.
"Walaupun ini mungkin menyusahkan mereka, ia akan melindungi mereka, orang tersayang dan rakan sekerja mereka. Tetapi perlindungan terbaik yang dapat mereka berikan adalah vaksinasi," katanya.
Dr Koh berkata tempoh yang mencukupi telah diberikan untuk mendidik masyarakat terhadap manfaat vaksin dengan lebih banyak bukti yang ada, namun masih ada kurang daripada 10 peratus penduduk yang menolak vaksinasi.
Beliau berkata MMA juga mengesyorkan bahawa selain mendidik masyarakat tentang vaksin, perkhidmatan kaunseling turut ditawarkan kepada mereka yang takut untuk menerima vaksin kerana perasaan takut merupakan faktor utama yang menyebabkan mereka teragak-agak untuk mendapatkan vaksinasi.
Dr Koh berkata kerajaan perlu meningkatkan kesedaran tentang perlunya vaksinasi untuk melindungi diri dan orang lain di sekeliling mereka.
"Malaysia telah memasuki Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara hanya kerana satu sebab dan ia adalah vaksinasi," katanya.
-- BERNAMA