Dapatkan ilmu pengetahuan, kecerdasan buatan - Dr Mahathir

Bernama
November 12, 2018 23:27 MYT
Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada majlis minum petang bersama diaspora Malaysia di Singapura. Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - BERNAMA
Sekiranya terdapat satu perkara penting yang boleh didapati daripada sesi soal jawab antara diaspora di sini dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah perlunya untuk terus memperoleh ilmu pengetahuan.
Daripada sejarah perkataan "ledakan kelahiran bayi" kepada menghidupkan semula sasarannya sebanyak 70 juta penduduk di Malaysia, pemimpin berusia 93 tahun itu membuatkan mereka yang menghadiri acara tersebut terpaku di tempat duduk mereka dan mahu mendengar lebih banyak lagi.
"Saya berpeluang melihat banyak perkara selama hampir 80 tahun dan itu adalah masa yang lama. Saya mengenali Malaysia, bagaimana ia berkembang dalam tempoh 80 tahun lalu dan saya faham pelbagai masalah Malaysia.
"Saya fikir saya faham, anda tidak akan bersetuju dengan saya. Tetapi saya fikir saya tahu sesuatu, jika tidak, saya tidak fikir mereka akan memilih saya sebagai Perdana Menteri sekali lagi," katanya yang mengundang sorakan dan dan ketawa daripada orang ramai.
Dr Mahathir berada di Singapura untuk lawatan rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Lawatan itu akan diikuti dengan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 dan mesyuarat berkaitan. Sesi soal jawab tersebut berlangsung di majlis minum petang dengan rakyat Malaysia di Singapura.
Bagi mereka yang mengambil perhatian mengenai apa yang pemimpin tertua di dunia ingin kongsi pada majlis berkenaan, mereka akan tahu bahawa ia dipenuhi perkara penting yang perlu diterapkan untuk kebaikan negara.
Ketika beliau mengenang kembali harapannya untuk melihat penduduk negara meningkat sehingga 70 juta, beliau menyebut bahawa ada beberapa bukti bahawa penduduk Malaysia semakin tua.
"Sekiranya ini tidak ditangani, maka negara akan mempunyai sebilangan kecil golongan muda yang menyokong sejumlah besar golongan tua. Oleh itu, perlu kahwin dan mempunyai ramai anak," ujarnya.
Perdana Menteri seterusnya berkata beliau berharap apabila Malaysia mencapai 70 juta penduduk, ia akan terdiri daripada penduduk yang sebahagian besarnya lebih muda.
Bagaimanapun, mempunyai penduduk muda dengan sendirinya tidak mencukupi, katanya, sambil menambah bahawa mereka juga mesti menjadi penduduk yang produktif.
"Untuk menjadi produktif, mereka mesti berpendidikan tinggi dan mereka mesti mempunyai kemahiran baru. Mereka mesti memahami teknologi baru," katanya.
Pada masa ini, Dr Mahathir berkata, terdapat ketidaksesuaian antara pendidikan dan pekerjaan di negara ini.
"Ia tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu memahami apa pekerjaan yang menunggu generasi muda dan kita perlu melatih mereka untuk pekerjaan ini," katanya.
Dr Mahathir juga menegaskan pentingnya kecerdasan buatan.
"Anda tahu Alibaba. Mereka jual dalam masa dua jam, saya tidak tahu berapa bilion barang. Itu berdasarkan kecerdasan buatan. Keupayaan untuk menganalisis sejumlah besar data bukan dengan menggunakan minda anda tetapi oleh mesin (supaya) mengetahui apa yang boleh dipasarkan," katanya, memetik jualan yang dicatat Jualan Sehari Terbesar oleh gergasi e-dagang China pada 11 November.
Dr Mahathir berkata, hari ini perniagaan baru adalah berdasarkan pengetahuan dan kecerdasan buatan dan belia Malaysia mesti memperoleh pengetahuan ini.
"Oleh itu, sistem pendidikan semasa di Malaysia perlu diubah sepenuhnya," katanya.
Mengenai usaha memulakan perniagaan sebaik sahaja memperoleh ijazah, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak fikir ia adalah baik untuk terus terlibat dalam perniagaan."
Beliau menegaskan tentang pentingnya memperoleh pengetahuan dan untuk menjadi ahli perniagaan yang baik adalah elok untuk bekerja dengan orang lain terlebih dahulu dan belajar mengenai selok-belok menjalankan perniagaan.
"Kemudian, anda boleh memulakan perniagaan sendiri. Sangat jarang sekali jika terus terlibat dalam perniagaan akan memberikan hasil yang baik," tambah Dr Mahathir.
Perdana Menteri juga menegaskan yang Malaysia sebagai sebuah negara mesra perniagaan yang menyambut baik pelaburan langsung asing serta pentingnya diaspora Malaysia untuk kembali dan menyumbang kepada pembangunan negara. -- Bernama
#diaspora Malaysia #Mahathir Mohamad #malaysians in singapore #Perdana Menteri #rakyat Malaysia
;