Dapat upah RM30 asingkan kepah, beli peralatan sekolah
Adie Sufian Zulkefli
Disember 25, 2017 11:42 MYT
Disember 25, 2017 11:42 MYT
Cuti penggal persekolahan yang berbaki seminggu bagi dua beradik bukan seperti kanak-kanak lain.
Bagi dua beradik Norida Yahya 14 tahun dan Norizan Yahya, 13 tahun, mereka terpaksa berkorban masa cuti persekolahan dengan membantu mengambil upah mengasing kepah sebagai duit poket untuk membeli kelengkapan sekolah.
Dua beradik itu tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa bangun seawal jam 8 pagi dan pergi ke pelantar kepah di Kuala Kedah untuk melakukan 'tugas' tersebut.
Tanpa terkilan melihat rakan-rakan lain seronok bercuti, mereka ada alasan tersendiri menghabiskan cuti sekolah dengan membantu meringankan beban ibu bapa yang terpaksa membesarkan lima beradik.
Bagi Norizan, dia dan kakaknya melakukan proses pengasingan kepah dengan upah sebanyak RM6 bagi setiap bakul dan dianggarkan menerima sekitar RM30 sehari sebelum dihantar ke pasar borong sekitar kawasan berkenaan.
"Tahun ni cuti sekolah panjang jadi saya dan kakak menolong mak yang hanya suri rumah. Tolong bagi duit dekat mak untuk beli baju sekolah kerana adik beradik ramai nak sekolah tahun depan lima orang.
"Kami buat kerja ini supaya dapat ringankan beban mak. Abah pula kerja nelayan saja, kadang-kadang tak boleh kadang-kadang boleh," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Manakala bagi Norida yang merupakan anak sulung daripada lima beradik ini berkata, mereka mampu memperoleh antara lima hingga enam bakul kepah yang berjaya diasingkan dalam sehari.
Menurutnya, pengorbanan ini semata-mata untuk mencari rezeki bagi membantu keluarga dalam membuat persediaan sesi persekolahan baharu.
"Hasil gaji harian yang diterima, akan diserahkan kepada mak ayah bagi menampung perbelanjaan keluarga serta sebahagiannya akan digunakan untuk membayar yuran sekolah dan membeli buku.
"Sebagai anak, kami akan cuba membantu kedua ibu bapa kami sebaik mungkin bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung," katanya.