Dapat rumah baru tidak lama lagi, nasib lima beradik tinggal di bangsal terbela
Vivi Sumanti
Januari 21, 2018 23:13 MYT
Januari 21, 2018 23:13 MYT
Nasib lima beradik bersama ibu mereka yang tinggal di sebuah bangsal beratap zink, berdinding zink dan kain, mendapat pembelaan.
Selain sumbangan dari pelbagai pihak yang bersimpati, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut menghulurkan bantuan dengan menyediakan kediaman yang selesa untuk keluarga berkenaan.
Tinjauan Astro AWANI di rumah keluarga itu di Kampung Panji di sini hari ini mendapati, rumah pusaka orang tuanya mulai dibersihkan untuk pembinaan sebuah rumah baru.
Menurut Noor Muhibbah Abdullah, 39 tahun, kerja membersih rumah usang itu dimulai hari ini.
Katanya, selepas Astro AWANI menyiarkan kisahnya baru-baru ini, pelbagai pihak menghulurkan bantuan untuk meringankan bebannya dan paling utama, kesediaan pihak MAIK dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor membina rumah untuknya.
Noor Muhibbah berkata, kerja-kerja pembinaan rumah itu dijangka memakan masa sebulan.
Sementara pembinaan itu berjalan, katanya, dia dan anak-anaknya, Sharifah Shuhada, 14 tahun, Syed Harris, 12 tahun, Syed Amir, 11 tahun dan Sheikh Amar Zariki, 4 tahun, akan terus tinggal di bangsal usang itu.
“Saya bersyukur kerana bantuan dan sumbangan orang ramai termasuk pihak berkaitan dari kerajaan negeri dan paling utama terima kasih kepada Astro AWANI,” katanya.
Sementara itu, anak sulungnya, Sharifah Shuhada melahirkan kegembiraan kerana impian untuk memiliki rumah selesa akhirnya termakbul.
“Sementara tunggu rumah baru, duduk lagi di bangsal. Semalam hujan lebat, habis basah berendam dalam air, kerana atap bocor. Tetapi, kami dah biasa” katanya dengan nada gembira.
Baru-baru ini, kisah mereka yang tinggal dalam sebuah bangsal selama lebih dua tahun mendapat simpati ramai pihak.
Keadaan ini berlaku kerana keluarga ini tidak mampu menyewa rumah selepas kematian suami Noor Muhibbah hampir 3 tahun lalu.
Malah, wanita itu yang bekerja di sebuah kedai roti memperolehi pendapatan sekitar RM700 sebulan, digunakan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya.
Rumah peninggalan orang tuanya yang terletak bersebelahan juga usang dan hampir menyembah bumi.