DAP yang dituduh parti rasis pun sanggup tandatangan deklarasi - Tun Mahathir

Astro Awani
Mei 10, 2018 06:18 MYT
Tun Dr Mahathir berkata DAP yang dituduh rasis pun telah menandatangani deklarasi yang menyokong penuh perlembagaan. -Gambar Astro AWANI
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan deklarasi sokongan sepenuhnya terhadap perlembagaan negara yang ditandatangani empat parti gabungan PH akan memastikan semua kaum tidak dipinggirkan apabila mereka mentadbir negara.
Malah, katanya, DAP yang dituduh parti rasis sanggup melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
"Parti dalam PH termasuk DAP telah dituduh rasis sebelum ini, tetapi DAP, Amanah, PPBM, dan PKR telah menandatangani deklarasi yang menyokong penuh perlembagaan.
"Deklarasi itu spesifik kepada bagaimana hak orang Melayu dan bukan Melayu, aspek agama, bahasa rasmi, dan bahasa-bahasa lain.
"Ia sangat komprehensif dan kami menandatanganinya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya lagi, langkah dilakukan Pakatan Harapan itu berbeza dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC yang enggan melakukan perkara sama.
"Saya nak tekankan di sini bahawa MCA dan MIC tidak menandatangani (deklarasi seumpama itu)," ujarnya.
#Amanah #Barisan Nasional #DAP #Mahathir Mohamad #MalaysiaMemilih #MCA #Media #Melayu #MIC #Pakatan Harapan #PKR #PPBM