DAP ucap tahniah kepada Tun Ahmad Fuzi atas pelantikan sebagai TYT Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 2, 2021 21:26 MYT
Mei 2, 2021 21:26 MYT
GEORGE TOWN: DAP mengucapkan tahniah kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua (YDP) Negeri Pulau Pinang yang kelapan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik seorang anak Pulau Pinang ke jawatan tertinggi di negeri itu.
"Tun Ahmad Fuzi akan memimpin Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi dalam kemakmuran ekonomi dan memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat rencam Pulau Pinang" katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tun Ahmad Fuzi dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) YDP Negeri Pulau Pinang menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Beliau mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah di Dewan Sri Pinang semalam dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Mengulas lanjut, Guan Eng memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri majlis angkat sumpah itu kerana masih menjalani tempoh kuarantin.