DAP terus didesak umum nama perwakilan mengundi pemilihan parti 2012

Bernama
September 15, 2017 18:27 MYT
Parti DAP terus dituntut untuk membuat pengumuman dengan melampirkan senarai penuh nama-nama perwakilan berserta nombor kad pengenalan mereka yang layak mengundi dalam pemilihan parti itu. -Gambar fail
Parti DAP terus dituntut untuk membuat pengumuman dengan melampirkan senarai penuh nama-nama perwakilan berserta nombor kad pengenalan mereka yang layak mengundi dalam pemilihan parti itu pada 2012 di dalam akhbar pelbagai bahasa.
Anggota DAP Cawangan Bagan Luar M. Sarawana berkata sehingga hari ini DAP belum menyiarkan nama mana-mana perwakilan berserta cawangan yang mereka wakili.
"Kami sudah mohon DAP (umumkan senarai nama untuk) pemilihan semula anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP harus umumkan perwakilan yang layak mengundi semasa pemilihan DAP pada 2012," katanya pada sidang media di sini, hari ini .
Katanya senarai tersebut sepatutnya diberi mengikut negeri dan cawangan masing-masing bagi memastikan pemilihan semula dijalankan dengan telus dengan mengguna pakai senarai pada tahun 2012 supaya kesahihan pemilihan tidak lagi dipertikai.
"Kami di peringkat akar umbi tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan pada 1 Okt ini. Ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil," katanya.
Tambah Sarawana DAP perlu mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan perlembagaan parti dan bukannya mengikut telunjuk pimpinan tertentu yang telah menjatuhkan imej parti.
"Anggota-anggota DAP patut berwaspada dengan golongan yang sentiasa memperdaya tipu muslihat mereka kononnya mereka membuat keputusan demi parti tetapi sebenarnya tindak tanduk mereka kelihatan menjurus ke arah mempertahankan kepentingan pihak tertentu," katanya.
Dalam pada itu Sarawana turut mempersoalkan tindakan peguam-peguam daripada kalangan parti itu yang tidak berjuang dalam membetulkan pemilihan CEC itu yang diisytihar tidak sah.
"DAP mempunyai ramai peguam yang selalu berjuang demi individu seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mengapa peguam-peguam DAP ini tidak berjuang untuk membetulkan pemilihan itu.
"Soalan kami apa yang peguam-peguam ini buat demi parti, kami mohon supaya mereka tidak melanggar undang-undang dan memalukan parti. Mereka yang tidak menghormati perlembagaan parti sendiri tidak layak memimpin parti," katanya.
-- BERNAMA
#DAP #Jabatan Pendaftaran Pertubuhan #Jawatankuasa Tertinggi Pusat #Lim Guan Eng #Lim Kit Siang #M Sarawana #politik
;