DAP sambut baik cadangan Najib adakan pelan penyatuan nasional

Astro Awani
Januari 30, 2014 14:21 MYT
Penasihat DAP, Lim Kit Siang. --Foto BERNAMA
DAP hari ini menyambut baik respon kerajaan berhubung cadangan untuk mengadakan dialog antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bagi mempromosikan penyatuan nasional melalui perpaduan dan konsensus.
Penasihat parti tersebut, Lim Kit Siang dalam sebuah kenyataan pada Khamis berkata, rakyat Malaysia tentunya akan berasa lega sekiranya terdapat usaha murni oleh barisan kepimpinan BN dan PR untuk mewujudkan konsensus bagi menangani ketegangan kaum dan agama yang berlaku.
"Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat telah berulang kali mengutarakan hasrat patriotik ini seperti yang digambarkan dalam ketiga-tiga 'surat terbuka' saya kepada Perdana Menteri dan Cabibet pada 8, 22 dan 29 Januri di mana idea tersebut ialah mengadakan sidang kemuncak kepimpinan BN/PR yang bertemakan 'untuk menyayangi dan menyelamatkan Malaysia'.
"Pada akhir surat saya yang ketiga, saya telah menggesa Perdana Menteri dan kabinet untuk membalas tindakan patriotisme kepimpinan Pakatan Rakyat untuk bersama-sama berusaha dan memastikan terdapat keharmonian yang berterusan, muhibah serta toleransi di Malaysia dan meninggalkan peristiwa 13 Mei sebagai sejarah yang lapok," katanya.
Menurutnya meskipun BN dan PR mempunyai perjalanan politik yang berbeza, namun mereka tidak dapat menafikan keperluan untuk menyelamatkan Malaysia daripada segilintir pihak tidak bertanggunjawab yang ingin mewujudkan kebencian kaum dan agama, konflik dan juga ketegangan di dalam negara.
"Saya sangat bersetuju dengan Najib yang mengatakan bahawa untuk pelan penyatuan itu berkesan, semua pihak mesti komited untuk mengelakkan diri dari menyebarkan fitnah dan pembohongan, dan akhirnya meninggalkan politik kebencian," kata Lim.
Katanya, DAP dan PR sering menjadi 'mangsa' politik fitnah, pembohongan dan kebencian, terutama sejak lapan bulan lalu sedangkan semua pemimpin politik sepatutnya menunjukkan contoh yang bersih.
Menurut beliau, jika BN dan PR bersatu dalam menangani politik fitnah, perkauman dan kebencian, kejadian 13 Mei tidak akan lagi berlaku.
Selain itu, Lim turut mencadangan supaya satu sekretariat bersama dibentuk untuk merangka butiran sidang kemuncak dialog di antara BN dan PR itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu telah berkata akan meneliti sebuah pelan ke arah mewujudkan suasana negara yang kondusif yang akan menggalakkan penyatuan nasional melalui perpaduan dan konsesus.
Menurut Najib, beliau telah mengemukakan idea pelan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 namun banyak pihak pada ketika itu menolaknya termasuk pembangkang yang mempertikaikan keputusan pilihan raya tersebut.
"Saya berbesar hati melihat pembangkang kini menyeru ke arah konsensus dan saya yakin mereka akan mengalu-alukan perkembangan baru ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ucapan pada Ahad menyeru semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) supaya mengetepikan perbezaan politik dan mencapai konsensus nasional bagi menangani isu-isu yang beliau sifatkan "amat penting".
Najib bagaimanapun menjelaskan pelan penyatuan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan itu bukannya bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.
#BN #DAP #dialog #Lim Kit Siang #Naib Razak #penyatuan nasional #PR #sidang kemuncak
;