DAP, PSB diminta berhenti kelirukan rakyat Sarawak - Wong King Wei

Nuzuluddin Abdul Razak
November 11, 2020 19:48 MYT
Wong King Wei menyokong usaha kerajaan GPS untuk meminda definisi 'penduduk negeri' dalam Artikel 16 Perlembagaan Sarawak supaya keahlian DUN kekal hanya untuk rakyat Sarawak. -Foto BERNAMA
KUCHING: Bekas Naib Presiden Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Wong King Wei menyelar tindakan itu dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang didakwanya cuba mengelirukan rakyat negeri itu.
Ia susulan tindakan pemimpin pembangkang itu yang membantah usaha kerajaan negeri untuk meminda definisi 'penduduk negeri' dengan alasan ia membuka pintu kepada orang luar untuk menjadi Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) Sarawak..
Tegas ADUN Padungan itu, tindakan kerajaan negeri untuk meminda definisi dalam Artikel 16 Perlembagaan Sarawak itu tidak sama sekali dibuat dengan tujuan berkenaan.
Bahkan beliau yakin pindaan itu jelas mengutamakan keluhuran DUN dengan mengekalkan keahlian hanya untuk rakyat Sarawak sahaja tanpa sebarang kelonggaran.
Ujar wong, pindaan tersebut adalah semata-mata untuk mentakrifkan definisi berkenaan agar keistimewaa rakyat sarawak dapat diperjuangkan dengan lebih jelas.
“Oleh itu, saya memuji hasrat kerajaan negeri untuk mengetengahkan perkara ini kepada dewan ini dengan tujuan untuk memperketat atau memperuncikan skop kelayakan anggota DUN”,
“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa artikel ini harus dipinda untuk memperketatkan masalah dan untuk memastikan eksklusif keahlian DUN Sarawak untuk orang Sarawak sahaja," jelasnya semasa berucap dalam Perbahasan RUU Perbekalan (2021) 2020 di DUN pada Rabu.
Tambahnya, pindaan itu boleh dibuat tanpa merujuk kepada seksyen 71 Akta Imigresen dengan mengambil pendekatan definisi yang lebih terperinci dari kerajaan negeri.
“Saya mencadangkan agar kita tidak menggunakan Seksyen 71 Akta Imigresen 1959 dan menggunakan definisi penduduk negeri yang lebih terperinci iaitu dengan mentafsirkan kepada maksud mereka yang dilahirkan di Sarawak dengan dengan keturunan Sarawak," katanya.
Terdahulu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Karim Rahman Hamzah membentangkan pindaan RUU Artikel 16 Perlembagaan Sarawak bagi mentakrifkan definisi 'penduduk negeri' serta menurunkan had umur kelayakan Ahli DUN dari 21 tahun kepada 18 tahun.
Cadangan pindaan itu bagaimanapun telah ditangguhan oleh Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar setelah menangguhkan pindaan tersebut ke persidangan yang akan ditentukan kelak.
Baca: Definisi 'penduduk negeri' dalam Perlembagaan Sarawak perlu diperjelas - ADUN Batu Kitang
Baca: Anomali punca (RUU) pinda Perlembagaan Sarawak ditangguh - Speaker
#Sarawak #DAP #PSB #DUN #Wong King Wei #TGPS #Datuk Karim Rahman Hamzah #Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar #penduduk negeri
;