DAP dakwa BN dan PAS bekerjasama dalam isu hudud
T K Letchumy Tamboo
Mei 26, 2016 21:18 MYT
Mei 26, 2016 21:18 MYT
DAP hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) dan PAS bekerjasama dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355- Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Dewan Rakyat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata DAP sama sekali tidak bersetuju dengan pindaan RUU tersebut.
"BN dan PAS telah adakan kolaborasi dan kerjasama dalam aspek ini.
"Kedudukan dan pendirian DAP adalah amat jelas; kami tidak akan bersetuju dengan sebarang pindaan yang bertentangan dengan perlembagaan.
"Dalam aspek ini, parti DAP merasakan ia bertentangan dengan perlembagaan," katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen.
Lim menegaskan pendirian ini tidak bermaksud bahawa parti itu anti Islam atau anti amalan Syariah.
Lim juga mempersoalkan tindakan BN menukar pendiriannya untuk 'menyokong hudud'.
Beliau juga bertanya sama ada parti komponen BN akan menunaikan janji mereka keluar BN dan meletakkan jawatan sekiranya hukum hudud dilaksanakan.
RUU Persendirian itu, hari ini buat pertama kalinya dibenarkan untuk dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, selepas ia dipercepatkan untuk dibahaskan.
Usul untuk mempercepatkan RUU itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di bawah Peraturan Mesyuarat 14(2) supaya ia dapat dibahaskan di persidangan hari ini.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan RUU dibentangkan selepas lebih suara Ahli-Ahli Parlimen bersetuju membahaskannya menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1).
Namun demikian, pembawa usul RUU tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengejutkan dewan persidangan apabila memohon supaya usul itu ditangguhkan.