DAP cadang mesyuarat khas dengan kerajaan bincang isu perkauman

Anthea Yap
September 26, 2015 07:31 MYT
KIT SIANG: Isu yang membabitkan kaum perlu ditangani segera bagi menjamin keselamatan rakyat serta keharmonian di negara ini.
Penasihat DAP Lim Kit Siang mencadangkan satu mesyuarat khas diadakan bersama dengan kerajaan bagi membincangkan isu perkauman yang bangkit sejak kebelakangan ini.
Jelasnya, isu yang membabitkan kaum perlu ditangani segera bagi menjamin keselamatan rakyat serta keharmonian di negara ini.
Kit Siang turut menegaskan bahawa isu perkauman tidak perlu dibangkitkan bagi memulihkan situasi semasa ekonomi dan politik negara.
"Apa yang penting ialah kita perlu mengurangkan isu perkauman. Bagi parti pembangkang, saya berani berkata bahawa kita sangat bersedia bahawa betapa pentingnya menjalinkan masyarakat majmuk dan kita akan mengelak isu perkauman secara maksimum", katanya selepas mengunjungi peniaga di Jalan Petaling hari ini.
Ketika mengulas tentang penahanan Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Mohd Yunos semalam, Kit Siang menyifatkan ia adalah tindakan yang wajar daripada pihak polis.
Katanya, tindakan Jamal itu menyalahi undang-undang negara apabila cuba merancang untuk menganjurkan perhimpunan baju merah di Jalan Petaling tanpa mendapat kebenaran polis.
Jamal yang juga penganjur perhimpunan baju merah 16 September lalu, kini ditahan mengikut Seksyen 105 kanun acara jenayah iaitu menangkap sesiapa sahaja yang terlibat bagi mencegah jenayah daripada berlaku.
Himpunan baju merah di Jalan Petaling yang dijadualkan berlangsung pada hari ini dibatalkan atas nasihat pihak berkuasa.
#isu perkauman #Jalan Petaling #kerajaan #Lim Kit Siang #Mesyuarat Khas