DAP akan kemuka usul pengiktirafan Parlimen kepada atlet Paralimpik

Harits Asyraf Hasnan
September 12, 2016 15:37 MYT
Anthony Loke berkata usul itu adalah sebagai pengiktirafan tertinggi negara kepada atlet paralimpik negara melalui institusi Parlimen. - Foto Fail
DAP akan mencadangkan usul tahniah dan penghargaan atas kejayaan wira-wira negara mengharumkan nama Malaysia di temasya Paralimpik Rio pada sidang Dewan Rakyat penggal hadapan.
Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata usul itu adalah sebagai pengiktirafan tertinggi kepada atlet paralimpik negara melalui institusi Parlimen.
BACA: Paralimpik Rio: Pecah rekod dunia, Latif Romly hadiahkan emas ketiga negara
"Memandangkan 3 wira tersebut telah mencipta sejarah memenangi pingat emas di temasya Paralimpik buat kali pertama untuk Malaysia, mereka wajar diberikan pengiktirafan tertinggi negara melalui institusi Parlimen selain daripada ganjaran kewangan dari kerajaan.
"Bagi pihak DAP, saya akan mencadangkan usul tahniah dan penghargaan kepada semua wira negara yang mengharumkan nama negara di temasya Paralimpik dan Olimpik Rio 2016 di permulaan Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 17 Oktober depan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
BACA: Kejayaan atlet Paralimpik julang nama Malaysia lahir atlet berprestasi tinggi
BACA: Tiga rekod dunia, #terbangLatifterbang trending di laman sosial
Mengambil contoh Parlimen Singapura yang meluluskan usul tahniah kepada Joseph Schooling, Anthony Loke berkata tiada sebab untuk Parlimen Malaysia menolak usul tersebut.
"Sekiranya Parlimen Singapura boleh meluluskan usul tahniah sebagai pengiktirafan terhadap pemenang pingat emas pertama mereka Joseph Schooling, tidak ada sebab mengapa Parlimen Malaysia tidak boleh menerima usul kami untuk dibahas dan diluluskan secara sebulat suara untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia bahawa sukan boleh menjadi penggerak perpaduan nasional yang merentasi perbezaan politik, kaum, agama dan wilayah!," katanya.
Malah, katanya DAP turut menyokong dasar Kementerian Belia dan Sukan yang tidak membandingkan ganjaran atlet Olimpik dan Paralimpik.
"DAP menyokong penuh dasar Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan atlet-atlet Olimpik kepada pemenang-pemenang di Paralimpik.
"Ketiga-tiga wira Paralimpik yang merangkul pingat emas untuk Malaysia wajar diberikan ganjaran RM1 juta setiap orang. Malah, saya ingin mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya mendapatkan kelulusan dari Kabinet untuk memberikan insentif khas kepada atlet-atlet yang memecahkan rekod dunia," katanya.
##TerbangLatifTerbang #Abdul Latif Romly #atlet negara #OKU #Paralimpik #Paralimpik Rio #Sukan Paralimpik
;