Dana Yayasan Akalbudi: Zahid akur keputusan mahkamah, sedia untuk bela diri
Ridauddin Daud
Januari 24, 2022 11:03 MYT
Januari 24, 2022 11:03 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau membela diri terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Menurutnya, keputusan tersebut adalah hak mutlak hakim, namun pasukan guamannya akan melakukan proses seterusnya selepas ini.
"Keakuran ini tidak terhenti pada hari ini. Sebaliknya apabila pembelaan diri dilakukan, maka pasukan guaman saya akan menjalankan tugas mengikut prosedur yang telah ditentukan mahkamah.
"Pasukan peguam saya akan meneruskan usaha guaman ini sebagaimana ditetapkan mahkamah tadi.
"Tarikhnya juga telah ditetapkan. Tentunya keakuran ini berdasarkan kepada sistem perundangan sedia ada," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.
Sementara itu, peguam kepada Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata beliau yakin untuk berdepan prosiding pembelaan yang akan bermula pada 28 Mac nanti.
"Kita akan kemukakan hujah yang kuat dan kukuh (untuk prosiding pembelaan)," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahmad Zahid, 69, untuk membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tuduhan membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Ahmad Zahid memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan tarikh 28 hingga 31 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, dan 27 hingga 30 Jun untuk prosiding membela diri.
Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh manakala pasukan pembelaan diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran.