Dana tambahan TEKUN Nasional usaha murni, namun perlu tambah baik - Pakar ekonomi
Bernama
Ogos 10, 2023 10:35 MYT
Ogos 10, 2023 10:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempunyai petunjuk yang lebih komprehensif untuk TEKUN Nasional bagi melihat kesan dan outputnya berbanding input dan proses inisiatif pembiayaan, kata pakar ekonomi.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata TEKUN Nasional telah memperuntukkan jutaan ringgit pembiayaan kepada usahawan informal serta mikro yang layak dan mereka mengukur kejayaan inisiatif pembiayaan itu melalui jumlah yang diperuntukkan dan juga kadar pembayaran balik.
"Bahagian yang kurang ialah impak dan output kemudahan pembiayaan ini tidak dapat menentukan sama ada usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka atau tidak.
"Sebagai contoh, dengan mengambil lebih ramai pekerja atau dengan mengembangkan premis mereka atau menghasilkan produk yang baik atau dapat menembusi pasaran antarabangsa atau dapat meningkatkan modal pasaran mereka dan akhirnya menjadi syarikat besar," katanya kepada Bernama, di sini, semalam.
Pada 3 Ogos, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengumumkan dana tambahan sebanyak RM200 juta bagi pembiayaan usahawan informal dan mikro di bawah TEKUN Nasional.
Beliau berkata penambahan dana yang bertujuan membantu lebih ramai usahawan informal dan mikro dalam perniagaan mereka itu, menjadikan peruntukan pada tahun ini meningkat kepada RM800 juta.
Mengulas mengenai pengumuman itu, Ahmed Razman berkata langkah kerajaan menambah dana tersebut adalah satu perkara yang baik untuk membantu usahawan informal dan mikro dalam pembiayaan perniagaan mereka.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peruntukan tambahan kepada TEKUN Nasional memang langkah tepat pada masanya yang boleh menggalakkan aktiviti keusahawanan ke peringkat seterusnya.
Mohd Afzanizam berkata dalam landskap ekonomi semasa ini, perniagaan perlu sedar tentang potensi cabaran yang mungkin menjejaskan jualan dan pengurusan kos mereka dan akhirnya keuntungan mereka.
"Ini mungkin memerlukan peningkatan tertentu dalam kemudahan perniagaan mereka untuk meningkatkan jualan dan produktiviti mereka. Sebagai contoh, pelaburan dalam peranti pintar memerlukan pelaburan yang besar untuk usahawan mikro.
"Belum lagi latihan berkaitan yang mereka perlu hadiri untuk memperoleh kemahiran yang lebih baik dalam perniagaan seperti bagaimana mereka memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dalam talian. Ini adalah pembinaan kapasiti yang boleh menjadi suatu yang mahal kepada perniagaan mikro," katanya.
Peniaga dalam talian Maziah Mahmud, 34, antara penerima manfaat dana TEKUN Nasional berkata beliau merupakan peniaga kecil yang tidak layak membuat pinjaman bank bagi perniagaan dalam taliannya.
"Jadi, inisiatif ini bagus untuk rakyat kerana ini adalah skim pinjaman yang akan dibayar balik kepada kerajaan. Pinjaman pertama saya serendah RM5,000 digunakan untuk membeli kelengkapan berniaga seperti mesin kisar bahan bagi membuat sambal ikan dan peti sejuk beku untuk menyimpan produk.
Seorang lagi peniaga yang baru sahaja menerima dana TEKUN Nasional Syed Mohd Nasry Syed Sabry, 25, berkata dana tersebut sangat membantu untuk mengembangkan perniagaannya yang menjual mainan seperti peralatan model dan patung aksi figura secara dalam talian dan di kedai fizikalnya.
"Dana tambahan ini suatu tindakan yang bagus kerana ia akan membantu banyak perniagaan lain yang memerlukan dana juga," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri Perak Salbiah Mohamed berkata dana tambahan sebanyak RM200 juta itu sangat membantu usahawan informal dan mikro di bawah TEKUN Nasional di negeri itu.
Beliau berkata kira-kira RM29.8 juta telah disalurkan kepada 1,296 akaun peminjam TEKUN Nasional di Perak sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
"Jumlah itu merupakan sebahagian daripada hampir RM50 juta yang telah diperuntukkan pada tahun ini.
"Sudah tentu penambahan dana ini dapat membantu usahawan untuk modal permulaan projek mereka sekiranya mereka memerlukan modal awal untuk memulakan sesuatu projek perniagaan," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA