Dana RM50,000 bantu pemimpin wanita di pelbagai peringkat - PM Anwar
Madiha Abdullah
Mac 8, 2024 23:00 MYT
Mac 8, 2024 23:00 MYT
PETALING JAYA: Dana sejumlah RM50,000 diperuntukkan masing-masing untuk membantu 100 pemimpin wanita bagi mengendalikan program di pelbagai peringkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pemilihan penerima dana akan dilakukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Kita hendak beri dana khas supaya dapat dimanfaatkan bagi mengadakan kegiatan kumpulan, tidak semestinya terikat pada parti persatuan tetapi dengan inisiatif mereka sebagai pemimpin masyarakat.
“Dana ini sebagai kesempatan atau wahana untuk mencari jalan meningkatkan kegiatan, idea dan saranan wanita.
“100 pemimpin wanita akan dipilih dan kita akan bagi setiap tokoh wanita ini RM50,000 untuk mengendali program mereka,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa, pada Jumaat.
Pembiayaan ini jelasnya, akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh idea dan sumbangan wanita dalam masyarakat.
Katanya lagi, sekiranya mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh setahun, bilangan peserta dan nilai pemberian akan dipertimbangkan untuk ditambah.
Sementara itu, Nancy memaklumkan pihaknya akan meneliti mekanisme pemilihan 100 pemimpin wanita tersebut.
“Kita tidak sangka perdana menteri akan umum (pemberian dana) itu malam ini, jadi kita akan teliti mekanisma yang bersesuaian untuk buat pemilihan,” katanya.