Dana politik: SPRM siasat nama yang disebut dalam kes Zahid Hamidi

Astro Awani
Jun 18, 2022 15:00 MYT
SPRM mengesahkan telah menerima aduan terhadap individu-individu berkenaan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap individu yang telah menerima dana politik seperti yang didakwa saksi perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan, SPRM mengesahkan telah menerima aduan terhadap individu-individu berkenaan, seperti yang dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan.
"Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009," kenyataan itu menyebut.
Sebelum ini, media melaporkan bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengemukakan lima nama ahli politik lain yang didakwa turut menerima dana daripada syarikat yang mengendalikan sistem visa luar negara (VLN) untuk pelancong itu.
BACA: Kes rasuah Zahid: Muhyiddin ada terima dana politik RM1.3 juta dari UKSB
BACA: Muhyiddin nafi terima dana politik RM1.3 juta, sifatkan dakwaan palsu
David Tan memberitahu Mahkamah Tinggi, nama mereka yang terbabit dicatatkan dalam fail lejar syarikat itu terdiri daripada menteri, ahli politik dan penjawat awam.
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM #Zahid Hamidi #Rasuah #dana politik #UKSB