Dana politik: "Bukan hanya pembangkang, pemimpin kerajaan turut disiasat" - PM Anwar

Ridauddin Daud
Mac 28, 2023 11:57 MYT
Siasatan penguatkuasaan berkaitan dana politik tidak hanya membabitkan pemimpin parti pembangkang malah pemimpin kerajaan turut disiasat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Siasatan penguatkuasaan berkaitan dana politik tidak hanya membabitkan pemimpin parti pembangkang malah pemimpin kerajaan turut disiasat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau ada bertanya perkara tersebut kepada pihak penguatkuasa dan mereka sahkan ada siasatan terhadap pemimpin kerajaan.
Bagaimanapun, tegas beliau, sama ada pendakwaan dibuat atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.
“Tentang siasatan dana politik, saya terbuka, tiada masalah tapi kena faham undang-undang. Sekarang ini membolehkan derma kepada parti politik.
“Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini, pendakwaan yang terkait dengan kontrak diberikan.
“Jadi kalau ada cadangan, ada permasalahan, kekhuatiran bawah ada unsur rasuah dalam derma kepada Keadilan (Parti Keadilan Rakyat), itu boleh dibangkitkan.
“Saya tiada masalah…cuma soalnya kena faham undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN - Rantau Panjang) pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
#Anwar Ibrahim #dana politik #pembangkang #kerajaan
;