Dana Komuniti Madani: RM1 bilion untuk masyarakat desa mulakan projek ekonomi
Bernama
November 25, 2023 14:50 MYT
November 25, 2023 14:50 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion tahun depan untuk inisiatif Dana Komuniti Madani, bagi membantu masyarakat desa mulakan projek ekonomi sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata menerusi inisiatif itu, setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan diberikan dana maksimum RM100,000 untuk mulakan projek ekonomi seperti kraf tangan atau hidroponik.
"Wang (dana) diberikan kepada penghulu, penggawa atau tuai rumah, selepas adakan perjumpaan dan putuskan apa projek ekonomi untuk kampung mereka.
"Saya nak tengok orang kampung putuskan dan jalankan (projek ekonomi) dengan kos rendah, uruskan dengan RM100,000 apa boleh dilakukan," katanya dan menambah dana inisiatif itu mungkin ditambah kepada RM2 bilion jika ia menunjukkan kejayaan.
Berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 di sini hari ini, Anwar berkata sekiranya masyarakat desa terlibat memerlukan bantuan, mereka boleh berhubung dengan pelbagai agensi kerajaaan antaranya Jabatan Pertanian atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Ini pendekatan baharu (kerajaan), (ia) dijangka melibatkan puluhan juta rakyat di semua peringkat iaitu dewasa berusia 18 tahun ke atas.
"Belanjalah dengan berhemah dan ikut peraturan ditetapkan," katanya serta menegaskan bahawa dana yang diperuntuk itu khusus untuk penjanaan ekonomi dan bukannya untuk pembaikan pagar atau jambatan rosak.
Beliau seterusnya mengajak rakyat untuk menumpukan soal pertumbuhan ekonomi negara serta tidak mempedulikan retorik kosong.
"Program tahun ini di bawah Kerajaan Perpaduan jauh lebih tinggi dan baik dari tahun sebelumnya. (Pedulikan) naratif politik tidak kesudahan dan tingkat usaha bangunkan (negara). Beberapa keutamaan (diberikan) pada 2024 dan masanya kita untuk melaksanakan beberapa program tertangguh," katanya.
Mengenai Karnival Usahawan Desa, Anwar menyifatkan penganjuran karnival itu sebagai berjaya dan mendapat sambutan luar biasa serta menggalakkan, dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan penganjur.
"Ini kesempatan kita untuk dedahkan usaha dilakukan kementerian, dan raikan usahawan supaya diberikan dorongan dan sokongan baik daripada jentera kerajaan dan rakyat," katanya.
KUD@Putrajaya 2023 diadakan selama lima hari bermula Rabu lepas (22-26 Nov) di Anjung Floria di sini, dimeriahkan dengan pelbagai pameran dan jualan.
-- BERNAMA