Dana kewangan rancakkan industri ternakan Limbang
Harits Asyraf Hasnan
April 3, 2016 15:02 MYT
April 3, 2016 15:02 MYT
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kesungguhan seorang penternak kerbau dan kambing di Limbang, Sarawak tidak pernah menghalang dirinya untuk terus memajukan legasi keluarganya yang dibangunkan sejak setengah abad lalu.
"Jauh beza dulu dan sekarang. Bila ada pembangunan, bantuan kewangan perniagaan saya makin maju," kata penternak Kahar Damit yang giat menguasakan perniagaannya yang berpusat di kota Limbang.
Pada usia 70 tahun, semangat Kahar tidak pernah luntur mengusahakan perniagaan keluarganya sejak 50 tahun lalu berpandangan kemajuan yang dikecapi di daerah yang diapit negara Brunei itu memberi impak positif kepada perniagaannya.
"Jauh beza sekarang daripada dulu. Dulu susah sikit, pergi Limbang guna perahu. Sekarang sudah ada kemajuan, jalan raya, tak banyak orang ada kereta waktu dulu.
"Macam dulu kalau pergi ke (bandar) Limbang berkayuh (menaiki perahu), tiga jam mahu sampai di bandar. Zaman dulu nak hantar kerbau pun kena naik perahu," ujarnya.
Tambahnya, pada masa kini pelbagai dana kewangan yang diberikan kerajaan serta bank telah mempergiatkan usahanya untuk memperkembangkan industri ternakan kambing dan kerbau di situ.
"Cadangan memang akan dibesarkan akan diusahakan. Kalau ada yang bunting dijaga dan diternakkan lagi. Saya berterima kasih kepada pegawai pertanian, Agro Bank (Bank Pertanian).
"Sekarang Agro Bank ada menggalakkan juga dari Kuching datang ke sini, bagi pinjam beberapa ratus ribu ringgit. Saya belum ada jawapan untuk ternakan.
"Dulu tidak ada. Sekarang ada rundingan daripada bank dan kalau betul memang mereka mereka beri bantuan. Ada kebaikan sekarang. Macam dulu mana ada. Tidak boleh nak besarkan perniagaan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Ulak di sini, pada Sabtu.
Justeru, beliau berharap lebih banyak pembangunan fisikal diwujudkan selain mempromosi Limbang sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Ikuti temubual Asyraf Hasnan bersama Kahar Damit.