Dana dipindah ke akaun Najib bukan derma atau hadiah - Pengurus bank
Bernama
Julai 15, 2019 00:10 MYT
Julai 15, 2019 00:10 MYT
Seorang Pengurus Rentas Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa RM50 juta yang dipindahkan ke akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 bukan 'derma atau hadiah'.
Pengurus Unit Rentas Ambank di Wisma Amfirst, Petaling Jaya, Wedani Senen, 45, berkata transaksi itu melibatkan kiriman wang dari syarikat di Singapura dan Seychelles.
Beliau berkata wang itu dikirim oleh dua syarikat, iaitu Blackrock Commodities Global Limited dari Singapura dan Vista Equity International Partners dari Seychelles.
Saksi ke-24 pendakwaan itu berkata demikian bila diperiksa semula oleh pendakwa ad hoc Datuk V. Sithambaram pada hari ke-37 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung pelesapan wang RM42 juta dari dana SRC International Sdn Bhd.
Ahli bank itu berkata dua transaksi itu menyenaraikan pemindahan wang itu ke dalam akaun bekas perdana menteri sebagai 'pinjaman'.
Sithambaram: Mungkin tertulis di mana-mana pada borang kiriman wang bahawa tujuan bayaran itu adalah hadiah atau derma?.
Wedani: Tidak.
Terdahulu, beliau yang disahkan senarai dana yang dipindah ke dalam akaun Ambank Najib, menyatakan 19 Jun, 2014 dari Blackrock Commodities Global Ltd GBP750,000 (RM4,093,500); pada 21 Okt, 2014 dari Vista Equity International Partners GBP5,750,000 (RM30,320,250); 21 Nov, 2014 dari Vista Equity International Partners GBP694,343.62 (RM3,624,273.7); 24 Nov, 2014 dari Vista Equity International Partners GBP2,216.01 (RM11,567.57); 5 Dis 2014 dari Vista Equity International Partners GBP 995,000 (RM5,360,065) dan pada 18 Dis, 2014 dari Vista Equity International Partners GBP 1,264,462.29 (RM6,809,129.43)
Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pendengaran di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.
-- BERNAMA
#bekas perdana menteri
#Blackrock Commodities Global Limited
#derma atau hadiah
#Kes SRC
#Najib Tun Razak
#Pengurus Rentas Ambank
#SRC International Sdn Bhd
#V Sithambaram
#Vista Equity International Partners
#Wedani Senen
#Wisma Amfirst