Dana dari syarikat judi, Pas gesa Anwar kemuka bukti

Madiha Abdullah
Disember 5, 2022 00:21 MYT
Takiyuddin dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan meminta Anwar mengemukakan bukti terhadap tuduhan tersebut. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan meminta Anwar mengemukakan bukti terhadap tuduhan tersebut.
"Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan Pas menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.
"Sekiranya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah," katanya dalam kenyataan pada malam ini.
Terdahulu, beberapa media melaporkan Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri pada Isnin, Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati "pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.
Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian.
#Takiyuddin Hassan #Anwar Ibrahim #PAS #Perikatan Nasional
;