Dana bayi bengkak hati kini cukup untuk pembedahan

Astro Awani
Februari 16, 2015 21:49 MYT
Mereka telah memilih untuk pergi ke Shanghai kerana kosnya yang jauh lebih murah. - Foto BERNAMA
Hasrat dan impian keluarga adik Aril Zafran untuk melihatnya hidup seperti kanak-kanak normal bakal tercapai berikutan dana pembedahan hati bayi tersebut kini sudah mencukupi.
Ibu bayi kecil itu, Nur Amirah Syazwani Pandi berkata beliau dan adik Aril serta suaminya akan terbang ke China pada awal bulan Mac bagi menjalani pembedahan pemindahan hati di hospital Jia Tong, Shanghai.
Ibunya itu berkata, mereka telah memilih untuk pergi ke Shanghai kerana kosnya yang jauh lebih murah iaitu sebanyak RM130,000 berbanding dengan RM250,000 di India.
Menurutnya, mereka juga telah mendapatkan pandangan dari beberapa kisah pemindahan hati kanak-kanak di China yang telah berjaya dan hidup seperti normal selepas pembedahan tersebut.
Hospital Jia Tong, kata Nur Amirah dilaporkan telah mempunyai lebih daripada 800 kisah pemindahan hati yang berjaya dan beliau yakin dengan kepakaran yang tersedia di hospital tersebut.
“Sebak sangat la… tak sangka rakyat Malaysia sangat prihatin dan dapat bantuan daripada Baitulmal tadi kira mencukupkan dana kami untuk ke Shanghai awal bulan Mac.
“Doakan lah kami semoga berjalan lancar dan selamat pulang ke Malaysia lepas tiga bulan di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rusnah Kasim menaruh harapan tinggi supaya pembedahan tersebut berjaya.
“Saya berharap sangat supaya dapat RM130,000 tu dan supaya adik Aril dengan keluarganya dapat segera pergi ke Shanghai dan difahamkan akan berangkat di sana minggu pertama Mac ini.
“Dan marilah sama-sama kita mendoakan supaya pembedahan hati adik Aril itu berjaya dan dapat kehidupan yang normal seperti anak-anak yang lain,” katanya.
Selain itu, Nur Amirah juga sempat mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri yang telah menyumbangkan lebih daripada separuh jumlah pembedahan tersebut, iaitu sebanyak RM73,000.
Beliau juga sempat merakamkan terima kasih kepada semua penderma di seluruh Malaysia yang bermurah hati menyumbang dana ikhlas buat anak tunggalnya itu.
Sebelum ini, doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah menasihatkan supaya pembedahan segera dilakukan berikutan kesihatan adik Aril yang semakin menurun.
#adik aril #China #dana #jia tong #pembedahan hati
;