Damailah kau di sana, Abangku ...

Astro Awani
Mac 4, 2019 16:21 MYT
Afeeza dan Amilia terpaksa menerima hakikat abang yang menjadi tunjang keluarga sudah pergi menghadap Ilahi. - Astro AWANI
Jenazah Alif Rezman Azhar, mangsa 21 tahun yang maut akibat terkena pisau jentera pemotong jerami pada Ahad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kamunting, Jitra, Kedah pagi tadi.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan tanah perkuburan apabila dua adik Allahyarham, Afeeza Syazlini Azhar, 15 tahun, dan Amilia Syazwani Azhar, 16, terpaksa menerima hakikat abang yang menjadi tunjang keluarga sudah pergi menghadap Ilahi.
Dua beradik yatim piatu ini kini menetap dengan ibu saudara mereka di Megat Dewa kerana tiada siapa yang dapat menjaga mereka.
Bagi Amilia Syazwani, pesanan arwah supaya beliau belajar bersungguh-sungguh dan terus menjaga adiknya merupakan amanat terakhirnya.
Bagi Afeeza, sejak kematian kedua-dua orang tua mereka lima tahun lalu, Alif dan Amilia sahajalah tempat dia menumpang kasih.
Pemergian Alif amat dirasai kedua-dua adik-beradik ini, apatah lagi Afeeza yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.
Namun, menurut Afeeza, dia akan terus belajar bersungguh-sungguh demi merealisasikan impian abangnya yang mahukan kedua-dua adik perempuannya cemerlang dalam pencapaian akademik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohamad Ismail Ibrahim memaklumkan, keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan badan akibat terkena benda tajam dan tumpul.
Dalam kejadian semalam, Alif ditemui maut dipercayai terkena pisau jentera pemotong jerami di Kampung Pida 2 Manggol Bonggor, dekat Kodiang.
Mayat Alif ditemui majikannya, yang ketika itu baharu pulang dari kedai, dan terlihat jentera itu bergerak tanpa pengendali.
Alif baru sehari bekerja di situ untuk mencari duit bagi membiayai persekolahan adik-adiknya.
#Afeeza Syazlini Azhar #Alif Rezman Azhar #Amilia Syazwani Azhar #jentera pemotong jerami #maut
;