Damai kamu di sana, Boon Huat
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 5, 2013 18:58 MYT
Ogos 5, 2013 18:58 MYT
Pemain hoki kebangsaan, mendiang Chua Boon Huat selamat disemadikan di Pusat Kremitarium Jelutong Melaka kira-kira jam 3 petang tadi.
Upacara pembakaran mayat diadakan dengan penuh penghormatan dan turut dihadiri skuad kebangsaan bersama jurulatih, Paul Revington.
Terdahulu, upacara penghormatan terakhir diadakan di rumah mendiang di Taman Semabok Perdana sebelum dibawa ke pusat kremitarium.
Abang mendiang, Aliff Nor Najmi Chua, 42 tahun, memberitahu, upacara penghormatan terakhir dan upacara pengkebumian berjalan dengan lancer.
“Kepada kawan-kawan yang telah datang jauh untuk mengikut proses pengkebumian dia, saya mewakili keluarga mendiang mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi datang, walaupun dari jauh,” kata Aliff.
Kehilangan Boon Huat secara mengejut itu turut memberi kesan mendalam kepada sahabat baiknya.
“Pengalaman yang paling tak boleh lupa, kita selalu bermain bersama, start 2006 sampai sekarang saya selalu main dengan dia, tidur sekali, hubungan seperti adik dengan abang, itu perasaan seorang sahabat,” jelas Mohd Sallehin Abd Ghani ketika ditemui di Kremitarium disini.
“Dia seorang yang friendly, selalu bagi nasihat macam adik dengan abang,” tambah beliau.
Kepada skuad negara, meskipun Boon Huat kini hilang di mata, namun semangat juang mendiang untuk terus mengangkat martabat hoki negara menjadi inspirasi pasukan berusaha lebih keras.
“Selepas kematian dia tu, hari-hari training memang suram . Tapi kita cuba juga berlatih. Lawan perasaan sedih,” kata rakan sepasukan mendiang, Sukri Mutallib.
Mengulas lanjut, Sukri berkata, pasukan akan berusaha keras untuk menunaikan hasrat mendiang, mengangkat martabat hoki negara.
“Kita tau dia memang komited dalam training, selalu encourage ibarat kita macam adik-adaik dia, bila kita kenang balik kita kena buat sesuatu untuk tunaikan hajat dia” tambah beliau.
Sukri menyifatkan, kehilangan Boon Huat tiada gantinya, dan berharap suatu hari nanti aka nada pelapis yang dapat bermain seperti mendiang.
Chua Boon Huat,33 tahun, meninggal dunia 1 Ogos lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara-Puchong.
Kereta Proton Perdana V6 yang dipandu mendiang dilaporkan melanggar sebuah lori tangki dan meninggal dunia ditempat kejadian.
Pemain jersi No.3 yang beraksi di posisi penyerang ini merupakan pemain negara paling banyak membuat penampilan antarabangsa dengan 337 caps.