Dalang utama sindiket 'counter setting' direman tujuh hari
Astro Awani
September 22, 2024 15:00 MYT
September 22, 2024 15:00 MYT
SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang dipercayai dalang utama sindiket 'counter setting' direman tujuh hari bermula hari ini.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai Imigresen Malaysia direman selama tujuh hari bermula hari ini atas dakwaan terlibat dalam sindiket 'counter setting'.
- Pegawai tersebut didakwa menerima rasuah di kaunter imigresen KLIA untuk membenarkan kemasukan warganegara asing yang tidak memenuhi syarat.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Perintah reman hingga 28 September terhadap tertuduh lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Sabri Ismail di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Ahad.
Perintah itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Suspek ditahan pada jam 1 tengah hari Sabtu di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Tertuduh yang diwakili peguam Shahidah Muslimah didakwa menerima rasuah di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang daripada ejen-ejen sindiket.
Tindakan itu dilakukan sebagai balasan membenarkan kemasukan warganegara asing yang tidak memenuhi syarat ke Malaysia.
Perbuatan itu dilakukan di antara tahun 2021 hingga 2023 ketika suspek masih bertugas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana terlibat dalam memberi, menawarkan, atau menjanjikan suapan kepada individu lain dengan niat untuk mempengaruhi keputusan atau tindakan dalam kapasiti rasmi.
Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang memburu seorang pegawai imigresen yang disyaki 'berpengaruh' dalam kegiatan sindiket itu.
Pegawai terbabit dilapor sudah melarikan diri, namun dipercayai masih berada di dalam negara, sebaik sahaja operasi siasatan kes itu bermula.
#counter setting
#dalang direman
#pegawai Jabatan Imigresen Malaysia
#terkini
#kaunter imigresen KLIA