Dalang tipu pakej umrah direman tiga hari
Sinar Harian
Julai 18, 2018 13:01 MYT
Julai 18, 2018 13:01 MYT
Seorang peniaga yang menjadi dalang kes penipuan pakej umrah melibatkan 21 mangsa direman selama tiga hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, lelaki yang berusia 40 tahun itu ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Temerloh hari ini bagi mendapatkan tahanan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Suspek yang dipercayai menjadi dalang kes penipuan pakej umrah melibatkan 21 mangsa membabitkan kerugian hampir RM140,000 sejak Mei lalu diberkas polis kira-kira pukul 8.30 pagi Selasa.
Suspek terbabit itu diberkas oleh sepasukan polis di sebuah rumah di Pangsapuri Birchwood Court, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.
Penahanan lelaki terbabit susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 50 tahun yang menjadi mangsa dari Felda Lakum, Lanchang pada Disember tahun lalu.
#dalang
#Felda Lakum
#Lanchang
#laporan polis
#penipuan
#polis
#Rawang
#reman
#suspek
#temerloh
#umrah
#Zundin Mahmood