Dalang penyebaran gambar kanak-kanak lelaki Palauh digari dikenal pasti

Qaisara Umaiyah
Februari 22, 2020 20:43 MYT
Polis telah mengenal pasti perbuatan menggari kanak-kanak tersebut dilakukan anggota polis berpangkat Koperal dari Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu. - Gambar hiasan
Polis telah mengenal pasti anggota yang menggari kanak-kanak lelaki Palauh yang ditahan baru-baru ini seterusnya menularkan gambar tersebut pada 19 Feb lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, kanak-kanak lelaki Palauh itu antara yang ditahan bersama 11 kanak-kanak lain dalam Ops Cantas di Lampu Isyarat Aman Jaya dan Sri Perdana.
"Polis telah mengenal pasti perbuatan menggari kanak-kanak tersebut dilakukan anggota polis berpangkat Koperal dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu.
"Hasil siasatan mendapati, perbuatan itu dilakukan bertujuan memaklumkan kepada rakannya juga anggota berpangkat Koperal di IPD Keningau bahawa kanak-kanak tersebut telah ditangkap tidak lama selepas gambarnya mengacukan pistol mainan tular," katanya dalam kenyataan.
Tambah Zaini, anggota yang menerima gambar tersebut bertindak menularkan dan menyebarkan kepada umum.
"Pihak polis memandang serius mengenai perkara dan perbuatan ini yang menyalahi undang-undang serta tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan dibawah Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A120," katanya.
Jelas Zaini, siasatan tatatertib akan dijalankan terhadap kedua-dua anggota yang terlibat.
#IPD #kanak-kanak digari #kanak-kanak lelaki palauh #PDRM #Pesuruhjaya Polis Sabah #polis #Zaini Jass
;