Dalang edar borang beri kad pengenalan kepada PATI disiasat
Bernama
September 4, 2018 13:26 MYT
September 4, 2018 13:26 MYT
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman telah mengarahkan polis untuk menyiasat pengedaran borang memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata dakwaan kononnya pengedaran borang itu adalah atas restu beliau berdasarkan jawatan yang dipegangnya adalah fitnah daripada pihak tertentu, untuk mencemar nama baik Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Kita tahu pihak pembangkang sering menyerang kita contohnya mereka mengatakan Warisan menjadi penternak kepada PATI di Sabah... namun itu semua hanya tuduhan untuk mencemarkan nama baik kita," katanya.
Beliau ditemui selepas Op Mega di sini awal pagi tadi yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali.
Mengulas mengenai Op Mega itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata operasi tersebut akan terus dijalankan di seluruh negara untuk memastikan hasrat kerajaan membanteras PATI secara habis-habisan dapat dilaksana secara berkesan.
"Ini menunjukkan keseriusan kita untuk membanteras PATI... Kalau mereka masuk ke negara ini secara haram kita akan tangkap kesemuanya dan usir mereka keluar dari negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#borang
#fitnah
#Imigresen
#kewarganegaraan
#media sosial
#Mohd Azis Jamman
#Mustafar Ali
#Op Mega
#operasi
#Parti Warisan Sabah
#pati
#pembangkang
#pendatang asing
#polis
#Sabah
#Tular
#warga asing