Dalang bangkit isu perkauman, agama hanya bebankan polis - KPN

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 28, 2019 10:18 MYT
ABDUL HAMID: Selepas 62 tahun merdeka, kita sepatutnya bijak tapi sedih... nampak negara makin kurang matang pemikiran, mendukacitakan. Isu ini bebankan PDRM. -Gambar fail
Tindakan sesetengah pihak yang gemar membangkitkan isu perkauman dan agama di negara ini hanya membebankan polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sedikit kesal kerana sesetengah rakyat negara ini tidak berfikiran matang walaupun negara sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan apabila isu tersebut masih menjadi perbalahan.
Abdul Hamid berkata PDRM sering dibebankan dengan isu yang tidak sepatutnya sedangkan keutamaan pihaknya kini adalah untuk mengemas kini Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam usaha untuk memperbetulkan pasukan supaya dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan menjadi lebih telus dan adil kepada rakyat.
"Saya sebagai Ketua Polis Negara tidak ada agenda tersirat atau yang sempit untuk menggagalkan dan saya tidak main politik.
"Saya percaya keputusan polis Hulu Langat, keputusan pihak mahkamah atas dasar faktor keselamatan. Isu ini tidak diberikan ruang untuk disensasikan mana-mana pihak.
"Selepas 62 tahun merdeka, kita sepatutnya bijak tapi sedih... nampak negara makin kurang matang pemikiran, mendukacitakan. Isu ini bebankan PDRM," kata Abdul Hamid.
Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ketidakpuasan hati sesetengah pihak yang mempersoalkan perintah mahkamah yang menghalang Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk meneruskan penganjuran persidangan isu tulisan Jawi di Kajang.
Beliau berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu pembatalan persidangan itu, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan 5,500 peserta Kayuhan Basikal dan Larian Solidariti Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’azdzam Shah Pulau Pinang 2019 yang turut dihadiri Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasegaran.
Pada Jumaat, Ahmad Dzaffir memaklumkan pihaknya memohon dan memperoleh perintah mahkamah daripada Mahkamah Kajang untuk Dong Zong tidak meneruskan persidangan.
Persidangan itu bertujuan membincangkan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular dan meyakinkan kerajaan supaya membatalkan pengajarannya, mendapat bantahan pihak terutama umat Islam di negara ini.
#Abdul Hamid Bador #IPCMC #isu agama #isu perkauman #PDRM #Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis
;