Dalang, 5 ahli sindiket seludup arak, rokok tanpa cukai ditahan
Aiman Hakeem Awazmin
Jun 5, 2022 23:07 MYT
Jun 5, 2022 23:07 MYT
KULAI: Enam individu termasuk dalang utama sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai yang beroperasi lebih empat tahun di sekitar daerah ini dan Johor Bahru, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi dua serbuan berasingan, pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Mohd Razali Melin berkata, penahanan tiga lelaki tempatan selain dua lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 60 tahun itu dibuat hasil serbuan di dua lokasi sekitar Palm Resort Senai, pada jam 9.30 pagi.
Katanya, serbuan menerusi Op Kontraban itu juga menghasilkan rampasan arak dan rokok seludup bernilai kira-kira RM704,370.
“Hasil siasatan awal ke atas kesemua suspek mendapati sindiket ini telah beroperasi lebih empat tahun dan beberapa siri tangkapan telah dilakukan ke atas sindiket ini namun mereka masih meneruskan operasi.
“Dipercayai juga suspek lelaki warganegara asing yang berumur 60 tahun itu merupakan ketua atau dalang utama bagi sindiket penyeludupan tersebut.
“Rampasan membabitkan arak dan rokok seludup berserta barangan sindiket yang lain dianggarkan bernilai RM1.13 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.