Dalami ilmu pelaburan, perancangan kewangan di Minggu Saham Amanah Malaysia
Shaznina Rozman
April 15, 2019 10:14 MYT
April 15, 2019 10:14 MYT
RAMAI yang berminat untuk mendalami ilmu pelaburan tetapi tidak tahu selok belok untuk memulakan langkah pertama.
Jika itu yang anda mahukan, kunjungi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 yang akan berlangsung dari 19 hingga 25 April ini di Sungai Petani, Kedah.
Di MSAM, pengunjung berpeluang untuk mendalami ilmu pelaburan dan perancangan kewangan yang diperlukan untuk menambah pengetahuan mengurus pelaburan dalam dana unit amanah sesuai dengan objektifnya, untuk meningkatkan tahap celik pelaburan dan pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Acara tahunan ini adalah untuk membuka peluang kepada pengunjung untuk meneroka dan memahami bagaimana pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB diuruskan.
Program tahunan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) ini turut disertai Syarikat-syarikat pelaburannya seperti, Maybank Berhad, Sime Darby Plantation Berhad, S P Setia Berhad dan UMW Holdings Berhad yang dikategori sebagai Rakan Premier.
Manakala Rakan Utama terdiri daripada Sime Darby Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd, MNRB Holdings Berhad, Takaful Ikhlas Berhad, MIDF Berhad, Sime Darby Property Berhad, Perodua dan Heitech Padu Berhad.
Sementara itu, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad serta CCM Berhad dikategorikan sebagai Rakan.
Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama penuh Kerajaan Negeri Kedah.
Orang ramai juga berpeluang untuk mengenali syarikat strategik dan teras PNB, kekuatan mereka dalam pelaburan unit saham amanah yang dibuat melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dalam produk seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia.
“Kami juga berharap melalui usaha ini, para pemegang unit dan masyarakat akan memperoleh kefahaman dan kesedaran tentang hubung kait antara risiko dan pulangan”, ujarnya.
Pelbagai program menarik turut disusun sepanjang seminggu, antaranya Program Cabaran Pengurusan Kewangan ASNB, Jejak Pelabur Bijak Maybank dan Jejak Pelabur Cilik SP Setia - selaras dengan matlamat PNB untuk mengajak golongan muda merancang kewangan dari awal khususnya dan meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat secara amnya.
Pelawat juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan termasuk sebuah Perodua Aruz, sebuah motosikal Honda Dash serta Iphone semasa Majlis Perasmian pada 21 April.
Apa yang mereka perlu lakukan adalah mendapatkan borang peraduan dalam akhbar tempatan seperti Sinar Harian, Harian Metro, Kosmo, Utusan Malaysia, The Star, Guang Ming Daily dan Malaysia Nanban pada 20 dan 21 April.
Pengunjung juga boleh mendaftar secara percuma melalui aplikasi “PNB Events” atau secara ‘walk-in’ sepanjang pameran diadakan.
Minggu Saham Amanah Malaysia yang dianjurkan sejak tahun 2000 sentiasa mendapat sambutan baik dan menjadikan jumlah pengunjung terkumpul sehingga kini mencecah 3.8 juta orang.
Acara yang memberi banyak manfaat ini juga pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Pameran Unit Amanah Terpanjang (2000-2014) dan menerima Anugerah Keusahawanan Bertanggungjawab Asia 2015 (Kategori Pemerkasaan Sosial) oleh Enterprise Asia.
#abdul rahman ahmad
#ASNB
#ilmu pelaburan
#Minggu Saham Amanah Malaysia
#msam2019
#pengurusan kewangan
#perancangan kewangan
#PNB