Dalam setahun pemerintahan, Perikatan Nasional sedar, 'iktiraf' isu rakyat - Pakar ekonomi
Madiha Abdullah
Mac 1, 2021 18:47 MYT
Mac 1, 2021 18:47 MYT
KUALA LUMPUR: Tempoh setahun pentadbiran Perikatan Nasional memperlihatkan banyak usaha kerajaan dalam membantu sektor ekonomi mendepani impak pandemik COVID-19.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata, usaha yang diambil itu menunjukkan kerajaan sedar dan 'mengiktiraf' hakikat bahawa rakyat sangat terkesan dengan situasi tersebut.
"Banyak usaha kerajaan yang saya lihat signifikan dalam membantu rakyat, antaranya seperti pemberian subsidi upah, moratorium dan membenarkan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Apabila adanya keprihatinan dan ambil maklum, barulah mereka boleh rancang dan laksanakan pelbagai langkah yang sesuai.
"Tetapi apapun, prestasi ekonomi banyak bergantung kepada situasi penurunan kes, dan dari situ kerajaan akan mengambil tindakan.
"Saya melihat dengan bermulanya Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 ini akan membawa perubahan positif," katanya dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Isnin.
Analisis setahun Malaysia Prihatin
Dalam masa yang sama, kata beliau, orang ramai tidak boleh 'pukul rata' dan beranggapan semua industri ekonomi terjejas dalam situasi pandemik ini.
Hal ini dibuktikan dengan kutipan cukai tahun lalu yang memberangsangkan, melebihi daripada sasaran.
"Industri seperti logistik dan teknologi tidak begitu terjejas malah tidak keterlaluan dikatakan mereka mendapat manfaat dalam keadaan pandemik.
"Jadi perkara ini mungkin boleh menjadi iktibar kepada orang ramai tentang sektor yang mereka ingin ceburi di masa depan nanti," ujarnya.
#ekonomi
#COVID-19
#pandemik
#kerajaan
#EPF
#KWSP
#Malaysia Prihatin
#Perikatan Nasional
#Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19