Dakyah negatif punca pendaftaran vaksin rendah di empat negeri - Amzad

Nur Fazlizai Ali
Jun 4, 2021 08:46 MYT
Setakat ini, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Sabah menjadi negeri paling rendah yang merekodkan pendaftaran dan penerimaan vaksin. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Terpedaya dengan dakyah negatif mengenai vaksin COVID-19 menjadi antara punca empat negeri masih merekodkan pendaftaran dan pemberian vaksin terendah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, turut menyumbang kepada kadar pendaftaran rendah ialah kurangnya kemahiran menggunakan aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, setakat ini, empat negeri - Terengganu, Kelantan, Kedah dan Sabah - mencatatkan rekod paling rendah iaitu sekitar 40 peratus, berbanding negeri lain.
“Ini adalah satu masalah. Maka kerajaan telah mengumumkan langkah lebih tegas dalam menangani dakyah yang boleh mengagalkan kerajaan untuk mencapai perlindungan seluruh rakyat melalui program imunisasi.
“Jadi, saya minta kerjasama semua pihak menapis maklumat, termasuk hujah-hujah agama, yang digunakan untuk mempengaruhi (supaya) tidak menerima vaksin,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 10,000 individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Terengganu didapati gagal menghadiri sesi janji temu vaksinasi.
Rata-rata penerima daripada golongan warga emas memberi alasan terlupa tarikh janji temu dan tiada kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan.
Sementara itu, Ahmad Amzad memaklumkan, kerajaan yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus dalam negara pada hujung tahun ini dapat direalisasikan mengikut jadual.
Ia selari dengan pertambahan PPV yang dijangka dibuka di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
#Kuala Terengganu #warga emas #COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #imuniti kelompok #PPV #terengganu #Pusat Pemberian Vaksin #Ahmad Amzad Hashim #MySejahtera #pendaftaran vaksin #suntikan vaksin #dakyah negatif #hujah agama
;