Dakwaan wujud kem dalam DAP perkara biasa - Loke
Bernama
Februari 23, 2025 20:00 MYT
Februari 23, 2025 20:00 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika berucap pada Majlis Minum Petang bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri Chennah hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan dakwaan wujudnya kem tertentu dalam parti itu menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagai perkara biasa yang ditimbulkan pihak luar bagi mengganggu-gugat ketenteraman parti.
Beliau berkata pihaknya tidak berasa terganggu dengan dakwaan tersebut dan menjalankan tugas yang diamanahkan seperti biasa.
"Biasalah setiap pemilihan ada macam-macam dakwaan, pimpinan DAP ini memang pasukan yang bersatu padu dan kuat jadi kita tak perlu endahkannya, dakwaan ini daripada orang luar tak ada kena-mengena dengan parti, mungkin ada yang dengki dengan DAP, ada musuh politik dan sebagainya.
"Semua pemimpin kita matang dan tahu menilai, tak perlu bergaduh dengan perkata seperti ini. Saya tak tahu ada kem-kem (dalam DAP), hanya ada kem DAP," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hi-Tea bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri Chennah hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian bagi mengulas dakwaan di laman media sosial berhubung wujudnya kem antara beliau dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng menjelang pemilihan CEC dijadualkan Mac ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu berkata parti tersebut sentiasa melaksanakan proses peremajaan dan meletakkan ramai muka baharu dalam pemilihan CEC termasuk sebagai calon dalam pilihan raya sekali gus mendedahkan mereka dengan pengalaman kepimpinan.
Sementara itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bebas mengambil pendekatan yang difikirkan sesuai dalam memperkukuh agensi itu termasuk cadangan mewujudkan Pasukan Tindakan Khas dalam kalangan anggota.
"Memang JPJ ada mekanisme mereka sendiri untuk memantau keberkesanan penguat kuasa, saya menyokong sepenuhnya tindakan JPJ dan mereka sentiasa memberikan maklum balas kepada kementerian," katanya.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini dilaporkan berkata cadangan penubuhan pasukan itu akan dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata pasukan itu berfungsi antaranya bagi menjalankan operasi khas, risikan selain menangani isu kritikal khasnya pada peringkat negeri.
-- BERNAMA