Dakwaan WSJ tanpa bukti kukuh tidak boleh diterima - Khairy

Bernama
Julai 3, 2015 21:00 MYT
KHAIRY: Siapa-siapa pun boleh membuat tuduhan dan pendedahan, tetapi jikalau tiada bukti yang kukuh kita tidak boleh menerima pendedahan tersebut.
Dakwaan oleh media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh diterima kerana ia tidak disertakan dengan dokumen dan bukti yang kukuh, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata pendedahan oleh WSJ bahawa dana hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib itu adalah berasaskan laporan oleh portal Sarawak Report yang kesahihannya dipertikaikan.
"Siapa-siapa pun boleh membuat tuduhan dan pendedahan, tetapi jikalau tiada bukti yang kukuh kita tidak boleh menerima pendedahan tersebut."
"Dalam hal ini (dakwaan oleh WSJ), saya tidak nampak ada bukti yang kukuh, mereka kata ada dokumen tetapi sekarang tidak ada apa-apa dokumen yang dikemukakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Ramadan di Masjid Bandar Beris Baharu, di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata dalam prinsip perundangan dan mahkamah, beban untuk membuktikan sesuatu tuduhan terletak di bahu pihak yang membuat tuduhan itu dan bukannya pihak yang dituduh.
Ditanya sama ada Perdana Menteri dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mengambil tindakan guaman terhadap WSJ, beliau berkata perkara itu terpulang kepada kedua-dua pihak terbabit.
BACA: SPRM sudah mulakan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd
BACA: Laporan WSJ: 'Kalau sahih, kenapa tak dedahkan sumber?' - Rahman Dahlan
BACA: 1MDB nafi pernah salur dana ke akaun milik Najib
#1MDB #Khairy Jamaluddin #Najib Razak #Sarawak Report #Wall Street Journal
;